PN harap menang kerusi mencukupi tubuh kerajaan negeri

Ahmad Faizal (kiri) bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan (kanan) ketika sidang media sempena PRN Melaka 2021 hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Faizal (kiri) bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan (kanan) ketika sidang media sempena PRN Melaka 2021 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan sasaran namun berharap bakal memenangi jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, ini kerana PN yakin dengan pemilihan calonnya sebagai Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang diterima baik oleh masyarakat selepas pengumuman dibuat.

"Apabila kita meletakkan kesemua 28 kerusi ditandingi oleh PN, harapan besar kami, berusaha bersungguh-sungguh untuk cuba memenangi seberapa banyak kerusi yang kami mampu.

"Bukan saya nak katakan terlalu optimis untuk memenangi semua kerusi tetapi kita perlu bekerja keras hingga tengah malam ini untuk memastikan kesemua calon kita memenangi kerusi," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Umum Mas Ermieyati calon ketua menteri langkah berani PN

Parti komponen PN iaitu Bersatu bertanding di 15 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka manakala Pas lapan dan Gerakan lima.

Pada Khamis, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mas Ermieyati, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, sebagai calon Ketua Menteri jika gabungan itu memperoleh mandat rakyat untuk membentuk kerajaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu selepas pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu setelah empat ahli dewan itu menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!