13 calon bebas bentuk kerajaan sekiranya menang PRN Melaka
MELAKA - Seramai 13 calon bebas yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan bergabung untuk membentuk kerajaan negeri itu sekiranya memenangi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Calon Bebas DUN Serkam, Datuk Dr Norazlanshah Hazali berkata, 13 calon tersebut telah bersedia untuk berbakti kepada rakyat meskipun tidak mempunyai latar belakang politik.
“Di Melaka, terdapat 22 calon bebas yang akan bertanding dalam PRN kali ini. Untuk makluman 13 calon daripadanya berjanji untuk membentuk kerajaan bersama-sama sekiranya diberi mandat oleh rakyat Melaka.
“Ini merupakan detik bersejarah Malaysia kerana tidak pernah ada sebelum ini calon bebas bertanding, bersepakat bentuk kerajaan jika diberi mandat,” katanya ketika Program Berani Semuka ‘Kenapa perlu pilih kami’ anjuran Sinar Harian di sini pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: 13 calon Bebas tandatangani akuan bersumpah
Berani Semuka turut menampilkan calon DUN Klebang, Bakri Jamaluddin (PN); calon DUN Taboh Naning, Zairi Suboh (PH); calon DUN Pengkalan Batu, Dr Aluwi Sari (Putra); dan calon DUN Machap Jaya, Abdul Aziz Osani Kasim (Iman).
Mengulas mengenai menawarkan diri untuk bertanding, beliau berkata, keputusan itu adalah seruan dan rayuan daripada rakyat untuk memastikan keadaan politik negeri itu kembali stabil.
Jelas beliau, 13 calon bebas juga menjanjikan kestabilan politik apabila telah menandatangani akuan sumpah yang mana tidak akan membentuk parti selepas memenangi kerusi selain melompat parti.
“Sekiranya kami dipilih untuk pimpin rakyat Melaka, Inysa-ALLAH dalam tempoh 12 bulan kami akan beri usul untuk penubuhan Rang Undang-Undang anti lompat parti.
“Bagaimanapun sekiranya kami langgar akuan sumpah ini, maka kerusi kami yang dimenangi haruslah dikosongkan serta merta. Rakyat Melaka juga boleh menyaman kami di mahkamah,” ujarnya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!