Politik berintegriti tawaran besar buat rakyat Melaka

Bakri ketika Program BERANI SEMUKA ‘Kenapa perlu pilih kami’ anjuran Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Bakri ketika Program BERANI SEMUKA ‘Kenapa perlu pilih kami’ anjuran Sinar Harian di sini pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Budaya politik baharu yang bersih dan berintegriti ditawarkan Perikatan Nasional (PN) merupakan tawaran besar kepada pengundi-pengundi Melaka ketika ramai yang melihat politik sebagai sesuatu yang kotor.

Calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Bakri Jamaluddin berkata, perpaduan yang diperjuangkan Pas juga membawa satu solusi politik demi kebaikan semua pihak.

Justeru, beliau mengajak pengundi-pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka khususnya DUN Klebang untuk membina sebuah politik baharu demi perpaduan bersama.

“Pas sendiri tidak gunakan lambang mereka sendiri dan membuktikan kesediaan kita berada di tengah-tengah Keluarga Malaysia.

“Anak muda anggap politik sebagai tempat mengaut kekayaan, tempat rasuah. Sebab itu kami tawarkan politik baharu yang berintegriti.

“Kesemua 28 calon PN juga sudah menandatangani akujanji anti rasuah dan saya kira ini adalah tawaran besar kepada rakyat Melaka yang melihat kotornya politik,” katanya ketika Program BERANI SEMUKA ‘Kenapa perlu pilih kami’ anjuran Sinar Harian di sini pada Jumaat.

BERANI SEMUKA turut menampilkan calon DUN Taboh Naning, Zairi Suboh (PH); calon DUN Pengkalan Batu, Dr Aluwi Sari (Putra); calon DUN Serkam, Datuk Dr Norazlanshah Hazali (Bebas); dan calon DUN Machap Jaya, Abdul Aziz Osani Kasim (Iman) sebagai panel.

Dalam pada itu, Bakri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Tangga Batu berkata, beliau melihat potensi DUN Klebang sebagai pusat pelancongan yang wajar dibangunkan dengan lebih tersusun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, aktiviti perniagaan melibatkan anak-anak muda juga wajar diberi perhatian dan ia bakal menjadi perkara yang akan diberi keutamaan.

“Saya berkata pada anak-anak muda ini yang saya tidak boleh menjanjikan apa-apa sekarang. Tapi jika saya diberi mandat, saya akan libatkan mereka, tanya apa keperluan mereka dan saya akan cuba penuhi.

“Pada masa sama kita akan usahakan untuk menggunakan teknologi untuk membantu mereka menambahkan lagi pendapatan,” ujarnya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!