Aifa intai peluang cipta kejutan pada Terbuka Malaysia

Aifa Azman - Foto Aifa Azman
Aifa Azman - Foto Aifa Azman
A
A
A

BERBEKALKAN prestasi cemerlang dalam pertandingan domestik tahun ini, pemain skuasy kebangsaan, Aifa Azman mengintai peluang mencipta nama pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

Pemain berusia 19 tahun dari Kedah itu memperoleh keyakinan setelah memenangi Kejohanan PSA 5 dan 6 Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Oktober lepas berturut-turut dengan rekod 10 kemenangan daripada 11 perlawanan tahun ini.

“Sememangnya satu peluang yang baik untuk saya beraksi dalam acara Jelajah PSA di laman sendiri. Saya sudah biasa dengan keadaan gelanggang di sini dan akan ada penyokong, jadi itu satu suntikan semangat untuk saya.

"Ini adalah acara AS$50,000 (kira-kira RM200,000) saya yang pertama di Malaysia dan saya sangat teruja untuk menghadapi pemain pilihan lebih tinggi, selain tidak sabar untuk menimba pengalaman, malah prestasi terkini saya juga agak baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pemain nombor 69 dunia itu diundi menentang pemain nombor 47 dunia, Mayar Hany dari Mesir dalam pusingan pertama dan jika menang, beliau akan bertemu pilihan ketiga kejohanan dan pemain nombor 31 dunia Yathreb Adel juga dari Mesir.

Selain Aifa, pemain wanita Malaysia lain berada dalam saingan adalah pemain nombor dua kebangsaan Rachel Arnold yang diundi untuk bertemu pemain Hong Kong, Tong Tsz Wing pada pusingan pertama, manakala Chan Yiwen akan mencabar pemain Mesir, Hana Ramadan.

Sementara itu, Addeen Idrakie, yang menerima peluang khas dalam kejohanan itu, yakin dapat membuktikan keupayaannya mencatat pencapaian membanggakan di acara Jelajah Dunia PSA berstatus gangsa itu.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, selain membina kekuatan mental dan fizikal, dia juga membuat persiapan menggunakan analisis video.

Artikel Berkaitan:

"Saya baru tamat perlawanan di Amerika Syarikat. Prestasi saya baik kerana saya berjaya mara ke suku akhir dan separuh akhir. Pada fikiran saya jika saya terus bekerja keras dan percaya pada diri sendiri dan jurulatih, saya boleh meningkatkan prestasi saya.

“Saya diundi menentang pemain Hong Kong, Yip Tsz Fung dan ia adalah baik kerana saya akan bertemu Yip dalam dua lagi kejohanan selepas ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!