Aaron-Wooi Yik lakar kejutan tundukkan Juara Olimpik

Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia selepas menang bergaya menundukkan Juara Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chai-Lin.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia selepas menang bergaya menundukkan Juara Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chai-Lin.
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia selepas menang bergaya menundukkan Juara Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chai-Lin.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo itu yang merupakan pilihan kelima kejohanan, melaksanakan strategi mereka dengan tenang untuk mengalahkan pasangan ranking ketiga dunia dari Taiwan 21-13, 21-15, dalam masa 31 minit, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali pada Jumaat.

Ini adalah kemenangan sulung beregu nombor tujuh dunia itu ke atas gandingan Taiwan tersebut, selepas tewas dalam tiga pertemuan sebelum ini.

Aaron-Wooi Yik dijadualkan bertemu pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang mengetepikan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 19-21, 21-14, 21-19, pada pertembungan merebut slot ke pusingan separuh akhir pada Sabtu.

Aaron berkata, kemenangan itu menaikkan lagi semangat mereka bagi menghadapi perlawanan seterusnya dalam memburu gelaran juara Kejohanan Jelajah Dunia BWF pertama mereka.

“Cara kami bermain memberi banyak tekanan kepada mereka, kami tidak memberi mata mudah dan bulu tangkis hari ini agak perlahan, kami pernah bermain dengan bulu tangkis yang perlahan di (Piala) Sudirman dan Piala Thomas baru-baru ini, jadi sudah biasa,” katanya kepada Media BWF.

Bagi Wooi Yik, pengalaman pada separuh akhir Terbuka Perancis ketika tewas pada Ko Sung Hyun-Shin Baekcheol dari Korea Selatan, membantu mereka kekal fokus sehingga mata kemenangan.

“Kami fokus pada perlawanan dan tidak memikirkan untuk menang apabila mendahului permainan, ini kami belajar daripada pengalaman. Sebenarnya selepas beberapa kejohanan seperti Sudirman, Piala Thomas (Terbuka Denmark, Terbuka Perancis) agak meletihkan dan fizikal kami tidak pada tahap terbaik. Mujur kami langkau Terbuka Hylo untuk melakukan penyesuaian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beregu profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga melangkah ke separuh akhir setelah mengalahkan pasangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani 21-13, 18-21, 21-18 dalam perlawanan yang mendebarkan.

Bagaimanapun mereka berhadapan tugas berat menentang beregu nombor dua dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia pada Sabtu.

Selain itu, beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mengakhiri saingan di kejohanan itu setelah ditundukkan pasangan nombor dua dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 17-21, 9-21 dalam perlawanan selama 34 minit.

Beregu wanita negara turut terkandas apabila pasangan Pearly Tan-M Thinaah tewas 14-21, 15-21 kepada beregu nombor sembilan dunia, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!