Proses mengundi SK Ramuan China Besar lancar, SOP ketat, terkawal
MASJID TANAH - [DIKEMAS KINI] Proses mengundi di Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Melaka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri ini mula dibuka tepat jam 8 pagi tadi.
Proses pengundian SK Ramuan China Besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau itu berjalan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan terkawal.
Terdapat lima saluran yang akan dibuka bagi membolehkan sebanyak 1,200 pengundi DUN berkenaan menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN Melaka kali ini.
Antara yang terawal datang mengundi ialah calon Perikatan Nasional (PN) DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang tiba pada jam 7.53 pagi.
Semua pengundi yang tiba di dewan itu akan menjalani saringan suhu badan, mengimbas kod My Sejahtera sebelum memasuki ke dewan dan bergerak ke prosedur yang seterusnya.
Pengundi yang melepasi kedua-dua saringan itu akan dibenarkan terus ke proses seterusnya iaitu mengesahkan saluran masing-masing, sebelum menunggu giliran untuk mengundi.
Sekiranya bergejala atau memiliki suhu badan melebihi 37.5 darjah celsius, pengundi akan diasingkan dan akan mengundi dalam khemah khas yang dikawal selia petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pada Jumaat, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmakrudin Ishak berkata, sebanyak 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian dengan seramai 12,290 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian.
Menurut beliau, seramai 476,037 orang pengundi bakal mengundi di PRN Melaka.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!