Peningkatan kerintangan antibiotik jadi ancaman membimbangkan

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Peningkatan kerintangan antibiotik (AMR) menjadi ancaman yang membimbangkan di seluruh dunia termasuk Malaysia kerana ia boleh menyebabkan penyakit sukar diubati dan meningkatkan risiko morbiditi dan kematian, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, sebagai contoh, kadar kematian bagi pesakit dengan jangkitan serius disebabkan oleh bakteria kebal yang dirawat di hospital adalah kira-kira dua kali ganda berbanding pesakit dengan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria biasa.

“Selain itu, dianggarkan sebanyak 700,000 kematian global setiap tahun adalah dikaitkan dengan isu kerintangan antibiotik dan sekiranya tidak dikawal, angka ini dijangka meningkat kepada 10 juta menjelang tahun 2050,” katanya semasa berucap sempena Sambutan Kempen Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia yang diadakan secara maya pada Sabtu.

Khairy berkata, kewujudan lebih 100 antibiotik, sama ada berfungsi untuk membunuh bakteria (bacterisidal) atau menghentikan perkembangan bakteria (bakteriostatik), telah banyak membantu terutamanya dalam mempercepatkan proses untuk sembuh, namun penggunaan antibiotik yang tidak wajar dan berleluasa telah mewujudkan masalah baru iaitu kerintangan antibiotik.

Beliau berkata, kerintangan antibiotik berlaku apabila bakteria menjadi kebal kepada antibiotik dan menyebabkan antibiotik yang digunakan tidak berkesan dalam merawat jangkitan.

Khairy berkata, bakteria kebal boleh merebak melalui beberapa cara termasuklah jangkitan antara individu, pengambilan makanan atau minuman tercemar dengan bakteria kebal, pendedahan kepada persekitaran yang tercemar serta pengambilan makanan berasaskan haiwan ternakan yang mengandungi residu antibiotik yang tinggi.

“Suatu kajian berkaitan bakteria kebal E. coli yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2019 bersama-sama pelbagai agensi mendapati bakteria kebal E. coli telah tersebar secara meluas dalam kalangan manusia, haiwan dan alam sekitar di Malaysia.

“Penemuan ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan dan kita perlu mengambil tindakan segera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bersempena dengan tema kempen 'Hentikan Penyalahgunaan dan Penggunaan Berlebihan Antibiotik', Khairy menyeru setiap ahli masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan dalam memastikan penggunaan antibiotik dibuat secara rasional dan berhemah bagi mengurangkan kejadian kerintangan antibiotik.

Beliau berkata, masyarakat harus memahami bahawa tidak semua penyakit adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria.

“Sakit seperti batuk, selesema dan sakit tekak yang disebabkan oleh virus, tidak memerlukan rawatan menggunakan antibiotik kerana penggunaan antibiotik untuk rawatan sakit seperti ini adalah tidak berkesan atau tidak diperlukan sama sekali. Sebaliknya, dapatkan nasihat doktor untuk rawatan yang sesuai jika tidak sihat.

“Preskripsi doktor adalah perlu untuk penggunaan antibiotik. Sekiranya diberikan antibiotik, ia perlu diambil seperti yang diarahkan dan antibiotik perlu dihabiskan mengikut tempoh yang diberi dan tidak boleh dikongsi dangan orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran global terhadap isu kerintangan antibiotik, pada tahun ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melancarkan kempen “Go Blue for AMR”.

“Individu, komuniti dan organisasi dijemput untuk memakai pakaian berwarna biru muda, mencahayakan bangunan atau monumen dengan lampu berwarna biru muda sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap kempen ini.

“Pada Rabu ini (24 November), Malaysia juga akan turut sama menyertai seluruh dunia dalam menerangi Pejabat Perdana Menteri di sini dan mewarnakan pancutan air di KLCC dengan cahaya biru sebagai tanda komitmen Malaysia dalam menangani isu kerintangan antibiotik ini,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran berkaitan penggunaan antibiotik dengan betul adalah penting demi menjaga kesihatan bersama dan juga generasi akan datang.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu memerangi kerintangan antibiotik ini bagi memastikan keberkesanan antibiotik dalam rawatan penyakit dapat kita kekalkan dalam usaha kita menjadikan Malaysia sebuah negara yang sihat sejahtera.

“Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan seperti menjaga kebersihan diri terutamanya kebersihan tangan, mengamalkan etika batuk dan memakai pelitup muka jika bergejala serta menjaga kebersihan makanan dan persekitaran.

“Elak pergi ke tempat awam apabila tidak sihat dan dapatkan vaksinasi yang disyorkan, seperti vaksin Influenza dan Covid-19 untuk mengelakkan jangkitan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!