KKMM perhalusi cadang wujud saluran khas untuk PRU
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memperhalusi cadangan mewujudkan ‘dedicated channel’ atau saluran khas untuk pilihan raya umum sebagai usaha menambah baik penyaluran maklumat kepada rakyat.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, mengambil contoh saluran khas untuk sukan Olimpik, saluran itu boleh diwujudkan bagi memberi ruang yang adil kepada semua parti politik bertanding.
“Ia sesuatu yang menarik yang boleh kita wujudkan, mungkin untuk PRN (Pilihan Raya Negeri) Sarawak tidak begitu sesuai, tetapi untuk PRU (Pilihan Raya Umum) ia boleh difikirkan.
“Ia antara opsyen yang belum pernah diadakan, tetapi tidak mustahil jika suasana mengizinkan. Teknologi mengizinkan kita berbuat demikian, kosnya juga tidak begitu tinggi,” katanya ketika singgah di Bilik Operasi PRN Melaka Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Mokhtar Hussain; Ketua Pengarang, Abdul Rahman Ahmad dan Editor Eksekutif, Harlina Samson.
Annuar berkata, dengan adanya ‘dedicated channel’ ini segala kempen yang berlaku di kawasan pendalaman terutamanya yang sebelum ini tidak diketahui oleh orang awam juga boleh dipaparkan.
Katanya, sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, saluran tersebut boleh mula menyiarkan siaran termasuk maklumat yang mendidik orang ramai.
“Ia juga tidak ganggu masa siaran yang lain, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) boleh memantau apa yang berlaku di lapangan, sebenarnya ‘dedicated channel’ agak menarik, kita fikirkan nanti,” katanya.
Annuar berkata, pada PRN kali ini, KKMM telah memulakan kaedah baharu dengan memberi ruang kepada calon untuk menggunakan saluran radio dan televisyen (RTM) bagi menyalurkan maklumat mengenai diri dan aspirasi mereka kerana prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengawal pandemik Covid-19.
RTM sebelum ini telah menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada PRN Melaka dan siaran audio melalui radio MelakaFM mulai 13 November lepas.
Dalam pada itu, Annuar berkata, SOP ketat yang digariskan juga mencambah kreativiti jentera yang membantu calon pada PRN Melaka kali ini.
Katanya, sepanjang kempen berjalan, pelbagai pihak telah mewujudkan saluran kempen sendiri secara maya melalui media sosial masing-masing termasuk menyediakan studio bagi menyampaikan maklumat mengenai calon dan mengemas kini aktiviti kempen mereka.
Bagaimanapun, kata Annuar, keterujaan untuk berkongsi dan menjadi penyebar maklumat terawal menyebabkan berlaku perkongsian kesilapan fakta terutama dalam menyiarkan keputusan tidak rasmi pilihan raya.
Justeru sambil menyatakan rasa kagum terhadap sistem penyampaian maklumat di Bilik Operasi Bernama, Annuar berkata, sebagai agensi berita negara, Bernama perlu mengekalkan kredibilitinya.
“Jangan salah lapor, sementara nak cepat (sampaikan berita) kena ada SOP yang perlu diikuti, jangan terbawa-bawa nak bersaing dengan orang lain, tambahan pula Bernama adalah punca (berita), orang (agensi media) lain akan ambil, jadi tahap integriti kena berada di tahap yang tinggi,” katanya. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!