Griezmann bakal beraksi berdepan AC Milan
PENYERANG Atletico Madrid, Antoine Griezmann kini berpeluang beraksi berdepan AC Milan pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada Rabu setelah rayuannya diterima oleh pihak Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Griezmann dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan setelah diperintahkan meninggalkan padang ketika berdepan Liverpool yang menyaksikan Atelico tewas 2-3, bulan lalu.
Penggantungan itu turut menyaksikan Griezmann tidak beraksi pada pertemuan kedua di Anfield yang menyaksikan gergasi La Liga itu tewas 0-2.
Bagaimanapun, pihak UEFA berpuas hati dengan rayuan yang dikemukakan pihak Atletico Madrid baru-baru ini.
Pihak UEFA juga telah bersetuju untuk mengurangkan denda yang dikenakan terhadap Griezmann selama satu perlawanan sahaja.
Secara keseluruhannya, keputusan daripada pihak UEFA ini bakal menyaksikan penyerang Perancis itu boleh beraksi ketika berdepan gergasi Serie A, AC Milan pada Rabu.
Untuk rekod, Atletico Madrid kini berada pada kedudukan ketiga Kumpuan B Liga Juara-Juara dengan empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan tewas dua kali daripada empat perlawanan setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!