Bosnia bina kem tempatkan 1,500 migran

Bosnia Herzegovina pada Jumaat membuka kem penempatan untuk pendatang berhampiran bandar utara Bihac, dekat sempadan Croatia.
Bosnia Herzegovina pada Jumaat membuka kem penempatan untuk pendatang berhampiran bandar utara Bihac, dekat sempadan Croatia.
A
A
A

BIHAC (Bosnia Herzegovina) - Bosnia Herzegovina pada Jumaat membuka kem penempatan untuk pendatang berhampiran bandar utara Bihac, dekat sempadan Croatia.

Kem Migran Lipa itu dibina dengan sokongan Kesatuan Eropah (EU) untuk menempatkan 1,500 penghuni, menurut Agensi Anadolu.

Wakil Khas EU untuk Bosnia Johann Sattler berkata, kem itu siap dalam tempoh 11 bulan dan projek berkenaan untuk memastikan masalah dialami pendatang pada musim sejuk lalu tidak berulang.

Menteri Keselamatan, Selmo Cikotic berkata, kerjasama itu berakhir dengan baik.

“Saya boleh katakan dengan pembukaan kem itu, kami telah dapat menangani krisis dan isu pendatang,” katanya.

Seramai 300 orang telah pun berpindah dan 1,200 migran yang masih tinggal di kawasan hutan berhampiran Velika Kladusa di sempadan Croatia akan ditempatkan di kem itu.

Migran yang mempunyai anak dan lebih memerlukan akan ditempatkan di kem untuk suasana kehidupan yang lebih baik.

Ketika kebanyakan negara di seluruh dunia bergelut dengan pandemik Covid-19, Bosnia Herzegovina dilanda krisis pendatang.

Artikel Berkaitan:

Negara itu meminta bantuan EU untuk menangani masalah pendatang yang terkandas di wilayahnya.

Sejak 2018, EU telah menyumbang sekurang-kurangnya €13.8 juta (AS$15.8 juta) bantuan kemanusiaan untuk Bosnia menjadi tuan rumah kepada pemohon suaka.

Majoriti pendatang di Bosnia lebih suka perlindungan antarabangsa di EU tetapi mereka tidak boleh memasuki wilayah blok itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!