Guna pendekatan betul bantu mangsa ah long

Chee Boon (kanan) bersama mangsa ah long, Tio Kai Cheng menunjukkan poster dan salinan aduan polis di Pejabat Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan di Taman Maju, Johor Bahru, pada Sabtu.
Chee Boon (kanan) bersama mangsa ah long, Tio Kai Cheng menunjukkan poster dan salinan aduan polis di Pejabat Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan di Taman Maju, Johor Bahru, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemimpin muda MCA di negeri ini yang mula membantu mangsa ah long perlu menggunakan pendekatan dan kaedah betul ketika berurusan dengan peminjam wang haram itu bagi mengelak diugut atau diancam hingga membahayakan nyawa.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, mereka tidak perlu terlalu agresif sebaliknya berbincang secara baik untuk mencari penyelesaian.

Beliau memberitahu, MCA boleh berbincang untuk mengurangkan kadar faedah tinggi yang dikenakan dan bukan bergaduh dengan mereka.

"Peminjam boleh meminta individu lain sebagai orang tengah untuk berurusan dengan ah long sebelum menyerahkan kepada polis jika tidak mampu. Jangan lakukan provokasi kerana boleh mengancam nyawa sendiri," katanya yang juga Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru pada sidang media di pejabatnya di Jalan Maju, Taman Maju di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas insiden Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon dan Ketua Biro Aduan Awam MCA Pasir Gudang, Lim Thow Siang yang menerima ugutan bakar rumah dan disimbah cat merah baru-baru ini.

Kedua-dua pemimpin MCA tersebut diugut kerana membantu mangsa termasuk pekerja Malaysia di Singapura.

ARTIKEL BERKAITAN: Diugut bakar rumah jika masih bantu mangsa ah long

Mengulas lanjut, Chee Boon berkata, sekiranya cara berbincang dilakukan dengan baik dan bijak, masalah ah long akan dapat diselesaikan tanpa perlu melibatkan ugutan.

Artikel Berkaitan:

Cara penyelesaian itu terbukti berkesan kerana beliau sudah menguruskan kes-kes berkaitan ah long sejak lebih 10 tahun dan tidak pernah mendapat ugutan atau ancaman.

Beliau berharap, selepas ini pemimpin muda MCA tersebut tidak putus asa atau takut untuk membantu mangsa-mangsa ah long sebaliknya terus memberi perkhidmatan terbaik.

“Saya tahu bagaimana untuk mengendalikan isu ini apabila mangsa datang minta bantuan serta tidak mencetuskan pergaduhan dan sebagainya kerana ia bukan tujuan saya,” katanya.

Sementara itu, Chee Boon berkata, setiap bulan pihaknya menerima kira-kira tiga hingga empat aduan mangsa ah long yang untuk mendapatkan bantuan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!