Mohd Rafiq harap lebih ramai keluar mengundi petang ini
MELAKA - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen masih berharap lebih ramai rakyat Melaka menjalankan tanggungjawab keluar mengundi sebelum pusat pengundian ditutup.
Beliau berkata, setakat petang Sabtu, masih ramai rakyat di negeri ini yang tidak keluar mengundi.
“Setakat petang ini, peratusan keluar mengundi agak rendah. Saya mengharapkan peratusan keluar mengundi dapat ditingkatkan sebelum pusat pengundian ditutup.
“Sekurang-kurangnya lebih 70 peratus keluar mengundi. Tapi, nampak agak mencabar dan masih berharap sekurang-kurangnya peratusan itu dapat dicapai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Sekolah Kebangsaan (SK) Alai di sini pada Sabtu.
Mengulas mengenai proses pengendalian pengundian, beliau berkata, setakat ini prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan berjalan dengan baik.
“Saya berada di sini sejak 11 pagi. Saya berpuas hati cara pengendalian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). SOP juga teratur untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
“Saya fikir ini boleh dijadikan penanda aras atau kayu pengukur untuk SPR mengendalikan pilihan raya umum (PRU) pada masa akan datang,” ujar beliau.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!