KKMM, MDEC pacu MSC 2.0 lonjak ekonomi, tarik pelaburan digital

 Annuar singgah melawat bilik operasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Annuar singgah melawat bilik operasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan memacu pembangunan MSC 2.0 untuk melonjakkan ekonomi digital negara dan menarik lebih banyak pelaburan digital.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat keempat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Nasional Keempat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

"Keputusan berkenaan adalah tepat pada masanya dan relevan. Ketika Malaysia dalam proses keluar dari pandemik Covid-19, penambahbaikan MSC Malaysia adalah sangat penting untuk menuju ke arah pemulihan ekonomi negara selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, MSC 2.0 bertujuan mengembangkan sektor fokus digital ke seluruh negara dan memangkinkan bidang pembangunan baharu untuk menjana pekerjaan berpendapatan tinggi.

Menurutnya, ia juga bertujuan menyokong dan mempromosikan penggunaan digital yang meluas, merentasi semua aktiviti ekonomi di Malaysia dan juga merapatkan jurang digital ke arah pengagihan kekayaan yang saksama.

Annuar berkata, MSC Malaysia yang merupakan antara tonggak utama ekonomi digital negara ditubuhkan pada 1996 untuk membangunkan ekosistem ekonomi digital yang kondusif menerusi pemupukan juara ICT tempatan dan menarik pelaburan global.

Beliau berkata, inisiatif itu juga telah membantu mempromosikan adaptasi digital di Malaysia dan meningkatkan jumlah bakat berkemahiran negara.

MSC 2.0 turut melibatkan penambahbaikan insentif dan Rang Undang-Undang Jaminan, penjenamaan baharu serta peluasan lokasi untuk MSC mempromosikan aktiviti di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"KKMM dan MDEC akan bekerjasama dengan semua kementerian, agensi dan industri untuk membangunkan MSC 2.0 yang lebih progresif, inklusif dan mampan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!