'Jangan guna istilah feminisme perjuangkan hak wanita'
SHAH ALAM - Kehadiran penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melaungkan ‘Hidup LGBT’ selepas laungan ‘Hidup Wanita’ menjadi bukti jelas bahawa pendukung fahaman feminisme turut memperjuangkan cara hidup LGBT.
Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Sharifah Abd Samad berkata, tidak guna lagi pejuang feminis di Malaysia berselindung di sebalik nama memperjuangkan hak wanita dan kesamarataan gender yang dilihat baik.
Menurutnya, semua itu hanyalah topeng menutup agenda dan fahaman keji yang terkandung dalam perjuangan feminis.
“Pembina sentiasa tegas menyatakan usah menggunakan istilah feminisme dalam memperjuangkan hak wanita kerana Islam sendiri telah menaikkan golongan wanita ke tempat dan kedudukan yang mulia.
“Kerajaan dan pihak berkuasa pula perlu mengambil tindakan serius terhadap tindakan mempromosikan ideologi songsang seperti LGBT ini,” katanya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyokong LGBT berarak tuntut hak di ibu kota
Sharifah berkata, lebih baik fahaman feminisme difatwakan haram sebagaimana fahaman liberal telah diharamkan di Selangor.
Jelasnya lagi, perhimpunan itu bukanlah pertama kali dalam melaungkan kebebasan menjadi LGBT malah pelbagai program seperti itu dilaksana di Malaysia di bawah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) feminis dan hak asasi manusia.
‘Fahaman songsang seperti ini bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam malah melanggar norma-norma masyarakat kita.
“Lebih merisaukan dengan sebahagian NGO yang nampak agak naif dalam menangani isu wanita sehingga boleh duduk bersama dan berjuang bersama NGO feminis, malah membuka ruang diskusi bersama mereka sedangkan tidak akan pernah selari antara Islam dengan fahaman songsang feminisme,” katanya.
Semalam, kira-kira 1,000 peserta menyertai himpunan sempena Hari Wanita Antarabangsa dan dicemari dengan kehadiran penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!