Simbah cat merah kerana cemburu

Puluhan kertas dengan gambar Kai Cheng berserta nota supaya membayar hutang dan cat merah disimbah di hadapan premis salun di Taman Bukit Indah, Johor Bahru pada Rabu.
Puluhan kertas dengan gambar Kai Cheng berserta nota supaya membayar hutang dan cat merah disimbah di hadapan premis salun di Taman Bukit Indah, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemilik salun rambut di Taman Bukit Indah di sini mendakwa menjadi mangsa cemburu, selain dituduh berhutang RM80,000 dengan ah long hingga mengakibatkan kedainya disimbah cat merah pada Rabu.

Pengusaha salun tersebut, Too Kai Cheng, 25, berkata, semasa kejadian dia berada di sebuah lagi salun miliknya di Sri Petaling, Kuala Lumpur sebelum menerima panggilan pemilik premis di Bukit Indah itu memberitahu kedainya disimbah cat merah.

"Kejadian disedari jam 9.30 pagi Rabu. Selain disimbah cat merah, puluhan kertas mengandungi gambar saya turut ditampal di merata tempat sekitar premis.

"Saya yakin perbuatan itu sengaja dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan menjatuhkan imej dan menjejaskan perniagaan saya.

"Mungkin bagi mengaburi saya, individu berkenaan meniru modus operandi biasa digunakan ceti haram seperti menyimbah cat merah dan tampal gambar mangsa," katanya pada sidang media di Pejabat Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan di Taman Maju di sini pada Sabtu.

Chee Boon (kanan) dan Kai Cheng menunjukkan poster dan salinan laporan polis di Pejabat Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan di Taman Maju, Johor Bahru pada Sabtu.
Chee Boon (kanan) dan Kai Cheng menunjukkan poster dan salinan laporan polis di Pejabat Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan di Taman Maju, Johor Bahru pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kai Cheng berkata, dia turut mendapati ada nombor telefon yang dicatat untuk dihubungi kononnya bagi melangsaikan hutang RM80,000, namun selepas dihubungi nombor telefon itu tiada dalam perkhidmatan dan sehingga kini tiada mana-mana pihak menghubunginya.

Dia mengesyaki perbuatan itu dilakukan individu yang tidak senang dengan kejayaannya termasuk berjaya membuka salun baharu di Sri Petaling bulan lalu.

"Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa namun saya berharap pihak polis dapat melakukan siasatan.

"Sebelum ini saya mempunyai rakan kongsi dari Sarawak, namun apabila menghubunginya dia menafikan melakukan perbuatan tersebut dan menyatakan akan sama-sama membantu menjejaki individu yang melakukannya," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, Kai Cheng turut melaporkan kejadian berkenaan di Balai Polis Sri Petaling pada 17 November lalu.

"Jadi kami berharap pihak polis memberkas individu yang dipercayai terbabit dengan perbuatan berkenaan.

"Saya sendiri akan menghubungi nombor telefon dalam poster berkenaan dan juga bekas rakan kongsi Kai Cheng untuk mencari penyelesaian terbaik," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!