Satu lagi kenyataan rasis, cauvinis: Asyraf Wajdi
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang menakutkan masyarakat bukan Islam dengan menggambarkan gabungan Pas dan UMNO menjadikan Malaysia negara Taliban merupakan satu lagi kenyataan bersifat rasis dan cauvinis.
Menurutnya, dakwaannya secara tidak langsung menunjukkan sifat sebenar DAP yang hakikatnya adalah sebuah parti yang beteraskan perkauman melampau.
“Apabila diumumkan secara rasmi Pas bekerjasama dengan UMNO merekalah yang melatah secara keterlaluan mengeluarkan kenyataan yang begitu rasis.
“Ini yang menyebabkan suasana tidak lagi seperti dahulu, apabila agama dipelekehkan dan satu demi satu penghinaan dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.
Asyraf berkata, sekiranya tunjung pokok itu kuat ia dapat meneduhkan pelbagai agama dan kaum yang berada dibawahnya.
Jelasnya, ia terbukti apabila peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam sejarah kehidupan masyarakat majmuk negara.
“Kita lihat waktu itu dua parti Melayu besar iaitu UMNO dan Pas telah membuang ego mereka dan bersedia membentuk gabungan yang kuat.
“Apabila gabungan itu diwujudkan UMNO dan Pas menjadi parti tunjang orang Melayu Islam dan diperkukuhkan, sehingga tidak timbul isu-isu perkauman selepas itu,” katanya yang sebelum ini Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga pernah memberi amaran bahawa parti DAP adalah parti rasis dan cauvinis.
Sebelum ini, Kor Ming dalam satu majlis di Taiping, Perak dilaporkan berkata, kerjasama UMNO dan Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan sekali gus memecah-belahkan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!