Program pendigitalan bantu PKS tingkat pendapatan

Amirudin melawat reurai disediakan selepas majlis perasmian 'Selangor Smart City dan Digital Economy Convention' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu.
Amirudin melawat reurai disediakan selepas majlis perasmian 'Selangor Smart City dan Digital Economy Convention' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melaksanakan pelbagai program pendigitalan dalam membantu perusahan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, malah perniagaan yang dijalankan peserta terbabit turut bertindak balas sekali gus pulih daripada kesan ekonomi akibat pandemik global Covid-19.

"Saya merasa bangga untuk berkongsi beberapa kejayaan diperoleh Sidec tahun ini apabila kerajaan negeri melalui Sidec telah berjaya melaksanakan empat kempen E-Bazar seperti E-Bazar Raya 2020, E-Bazar 11.11 Mega Sales, E-Bazar CNY 2021 dan E-Bazar Raya 2021," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian 'Selangor Smart City dan Digital Economy Convention' menerusi tajaan Affin Bank Berhad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Perindustrian dan Perdagangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan Presiden CTDK Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kebanyakan peniaga menunjukkan peningkatan dalam hasil jualan mereka sebanyak dua dan tiga kali ganda selepas menyertai kempen E-Bazar.

Siti Nurhaliza (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Amirudin.
Siti Nurhaliza (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Amirudin.

"Saya juga gembira melihat bagaimana Haji Mohd Ghazali Anuar dari Baiworld Kitchen yang merupakan seorang lagi peniaga yang mendapat manfaat daripada kempen itu.

Artikel Berkaitan:

"Menjual pelbagai produk sepeti kerepek peria dan sambal, dia yang sebelum ini hanya berjaya menjual 60 hingga 70 unit sehari tetapi selepas menyertai kempen E-Bazar Raya Selangor, jualannya telah meningkat lebih dua kali ganda dengan pendapatan kasar RM3,000 sehari.

"Dia juga berjaya membantu pengusaha kecil-kecilan dalam kawasan beliau dengan membeli hasil tanaman mereka seperti peria dan membuka peluang pekerjaan kepada golongan asnaf di kawasan itu," katanya.

Selain kempen E-Bazar, kerajaan negeri Selangor terus memartabatkan PKS dengan melancarkan Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor pada April 2021 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut Amirudin, geran padanan digitalisasi telah memainkan peranan penting dalam menggalakkan PKS mengambil langkah pertama untuk mendigitalisasikan perniagaan mereka.

"Daripada 1,500 PKS Selangor yang memohon geran itu, 1,100 PKS telah memenuhi syarat mendapat manfaat daripada geran ini.

"Sebanyak RM5 juta telah disalurkan merangkumi lima bidang pendigitalan iaitu perakaunan awan, sistem e-pembayaran, pengurusan sumber manusia dan senarai gaji, pemasaran digital dan sistem e-dagang,"ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!