Tingkat tahap kesedaran terhadap sindiket tipu 'online'
PETALING JAYA - Tahap kesedaran maysarakat terhadap sindiket penipuan dalam talian dan jenayah komersial perlu dipertingkatkan supaya meraka tidak menjadi mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan statistik jumlah keseluruhan mangsa menunjukkan trend peningkatan sejak tahun 2019.
"Sehingga Oktober jumlah keseluruhan kes penipuan dalam talian tahun ini sebanyak 17,537 kes dengan nilai kerugian mencecah RM449 juta merupakan satu nilai yang agak tinggi.
"Jumlah itu sudah melebih angka yang dicatatkan pada tahun 2020 (17,109 kes) tetapi itu jumlah untuk setahun," katanya ketika ditemui dalam program High Profile Policing (HPP) di Pusat Beli Belah Sunway Pyramid pada Sabtu.
Menurutnya, pihak JSJK mengambil inisiatif menjalankan kempen advokasi HPP sepanjang bulan November untuk mendekati masyarakat dan pada masa sama mendidik orang awam berkenaan sindiket 'scammer' tersebut.
"Kempen ini akan diteruskan sepanjang November dan kita akan buat 'post mortem' untuk melihat keberkesanan kempen ini dan kalau kurang berkesan kita akan tambah lagi.
"Saya harap kempen ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bagaimana untuk mengenal pasti kaedah penipuan dalam talian dan diharap dengan pengetahuan yang ada mereka tidak menjadi mangsa sindiket," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat kewangan dengan sewenang-wenangnya bagi mengelak digunakan sebagai akaun keldai untuk aktiviti jenayah.
"Kita takut mangsa tidak sedar bahawa akaun mereka digunakan untuk tujuan penipuan, jadi saya harap orang ramai tidak memberikan akaun bank mereka kepada mana-mana pihak.
"Walaupun mereka tidak tahun akaun mereka digunakan untuk tujuan penipuan, namun tindakan tetap akan diambil terhadap pemilik akaun terlibat," jelasnya.
Justeru, beliau berharap menerusi program HPP ini tahap kesedaran masyarakat terhadap helah licik pihak sindiket meningkat dan secara tidak langsung dapat menurunkan jumlah statistik mangsa penipuan jenayah komersial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!