KWP mahu selesai isu pembangunan sosial kampung di Labuan
LABUAN - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mahukan isu pembangunan sosial di kesemua 27 kampung diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan dan Pejabat Ahli Dewan Negara akan memantau setiap isu yang dibangkitkan oleh ketua-ketua kampung.
“Apa yang boleh diselesaikan di peringkat Senator Datuk Bashir Alias dan Perbadanan Labuan akan diselesaikan oleh mereka.
“Bagi yang memerlukan perhatian segera kementerian terutamanya yang memerlukan suntikan dana, pihak kami di kementerian akan ambil perhatian untuk penyelesaian segera demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan libat urus bersama ketua-ketua kampung dan pemimpin Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di sini pada Sabtu.
Katanya, kesemua aduan yang diutarakan oleh ketua-ketua kampung termasuklah status pelantikan barisan baharu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang masih belum diselesaikan sejak Oktober tahun lalu akan diambil perhatian segera.
“Kalau boleh saya mahukan isu pelantikan kepimpinan JPKK Labuan ini diselesaikan dalam seminggu ini, kami tidak mahu isu ini berlarutan yang boleh menjejaskan keharmonian penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, isu status bebas cukai Labuan yang kini dipersoalkan susulan barangan pengguna (termasuk barangan elektrik dan pakaian) lebih mahal berbanding di bandar-bandar lain.
“Saya mahu Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Labuan yang baharu dibentuk yang membarisi kesemua ketua 83 jabatan dan agensi kerajaan di Labuan ini berbincang untuk mencari jalan penyelesaian kepada isu ini," katanya.
Jalaluddin berkata, status bebas cukai Labuan sejak tahun 1956 kini tidak dapat lagi dinikmati dan hampir hilang keistimewaannya berikutan harga barangan yang tidak mampu menarik pelancong ke Labuan.
“Isu ini harus dibincangkan ahli jawatankuasa ini, dan yang boleh diselesaikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia selesaikan dengan sebaiknya bagi memastikan status bebas cukai itu masih relevan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!