'Jangan kejar jawatan politik'
JULAU - Golongan muda yang menyertai politik dinasihatkan agar tidak terburu-buru mengejar jawatan supaya mereka tidak 'karam' di pertengahan jalan.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebaliknya mereka harus mengikuti arus perjalanan politik dengan penuh kesabaran.
"Pemimpin silih berganti.
Saya ganti Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem).
Suatu hari nanti, saya akan undur diri dan akan ada lapisan muda yang mengganti," katanya sambil menambah usia beliau kini sudah menjangkau 71 tahun.
Ketua Menteri Sarawak itu, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata demikian semasa majlis pecah tanah pembinaan projek jambatan Nanga Lasi di sini pada Sabtu.
Beliau turut memaklumkan bahawa PBB telah bermesyuarat di Kuching malam tadi dan ramai muka baharu akan diturunkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).
Abang Johari berkata, PBB sentiasa melatih pelapis muda bagi menggantikan pemimpin yang ada ketika ini.
Beliau berkata, Sarawak beruntung kerana kekurangan insiden 'gaduh-gaduh' politik memandangkan rakyatnya yang berbilang kaum saling memahami antara satu sama lain.
"Ini sebabnya saya tidak mahu parti luar masuk ke Sarawak kerana mereka selalu 'kipas' kita supaya bergaduh," katanya sambil menambah selagi GPS memerintah, rakyat dan negeri Sarawak akan terus diberi keutamaan.
Abang Johari juga berkata, banyak projek dan program pembangunan sedang dilaksana di Julau termasuk pembinaan jalan raya, jambatan serta pembukaan tanah yang membawa maksud masa depan rakyat di kawasan itu adalah cerah.
Katanya, bagi membolehkan pembangunan itu diteruskan, rakyat harus memberikan mandat baharu kepada GPS pada PRN12 ini.
Projek pembinaan Jambatan Nanga Lasi bernilai RM5 juta sepanjang 100 meter itu akan mula dibina pada Januari tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh setahun.
Jambatan itu dibina untuk menggantikan jambatan gantung sedia ada dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,250 penduduk di Nanga Lasi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!