Negara Teluk, Asia perlu waspada perangi ekstremisme
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerjasama di antara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan negara Teluk harus dipertingkatkan dalam usaha menangani keganasan, puak pelampau dan pertikaian antara kuasa besar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, kerjasama di antara dua rantau itu bakal memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan dan keamanan serantau.
Menurutnya, dua rantau itu kini berada di satu persimpangan yang mana mereka boleh bekerjasama untuk terus mengorak langkah dalam menghadapi cabaran pasca pandemik Covid-19.
"Negara lebih kecil seperti Malaysia dan Bahrain di Teluk adalah lebih lincah dan dengan kerjasama daripada negara-negara lebih besar kita mampu untuk untuk bangkit menghadapi cabaran dalam lanskap global pasca Covid-19.
"Virus ini tidak mendiskriminasi terhadap warna kulit, agama dan pegangan, justeru kerjasama serta keseimbangan harus menjadi agenda utama semua negara tanpa diskriminasi," katanya dalam ucapan di Dialog Manama di Bahrain pada Sabtu.
Hishammuddin berkata, Malaysia sentiasa komited dalam usaha menjalinkan hubungan diplomasi lebih erat termasuk dari segi ketenteraan sebagai asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran global.
"Contohnya, dalam mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), Malaysia mencadangkan penubuhan blok ketenteraan terdiri daripada pasukan pertahanan 10 negara ASEAN untuk berkongsi pengalaman.
"Malaysia juga merupakan antara anggota terawal dalam Global Coalition Against DAESH semasa ia mula-mula ditubuhkan pada 2014 dan Malaysia juga antara negara terawal menyertai Islamic Military Counter Terrorism Coalition(IMCTC) pada 2016," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, negara Teluk dan ASEAN mempunyai peluang untuk bersama-sama mencapai kestabilan ketika dunia berada dalam peralihan kepada fasa endemik.
"Dua rantau ini saling berhubung kait dan terdapat begitu banyak persamaan jadi kita harus mengambil peluang ini demi menjamin masa depan anak cucu kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!