BN akan perkenal enakmen anti lompat parti
MELAKA - Barisan Nasional (BN) akan memperkenalkan enakmen anti lompat parti dan meminda undang-undang yang berkaitan dengannya untuk menangani isu lompat dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu mengambil beberapa ketetapan yang menjurus kepada agenda transformasi dan pengukuhan untuk melanjutkan kestabilan politik di negeri Melaka.
Menurutnya, ia termasuk mengusulkan kerjasama antara ahli-ahli yang berhormat untuk memastikan jangka hayat DUN Melaka kekal bagi tempoh sekurang-kurangnya empat tahun dari tarikh pertama sesi persidangan DUN diadakan.
"BN juga akan memperkenalkan satu tanda kelola majlis mesyuarat kerajaan negeri sebagai panduan undang-undang konvensyen dan peraturan kerajaan negeri.
"Selain memperkenalkan amalan undi percaya dan konstruktif 'world of confidence' untuk memastikan sebuah kerajaan yang tidak dijatuhkan," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional (BN) di Taman Botanikal di Ayer Keroh, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, parti itu akan memperkenalkan agenda transformasi dan pengukuhan dalam urusan persidangan DUN Melaka bagi membolehkan semua ahli yang berhormat memainkan peranan yang lebih efektif dalam penggubalan undang-undang dasar dan semak serta imbang kerajaan negeri.
Katanya, BN juga akan mengusulkan peruntukan dan kebajikan kepada semua ahli yang berhormat secara adil yang akan diputuskan melalui sebuah jawatankuasa dewan yang dipengerusikan oleh Speaker DUN dan Ketua Menteri.
"Saya yakin dengan ketetapan ini kita akan dapat melahirkan kestabilan yang amat didambakan oleh rakyat negeri Melaka khasnya dan Malaysia untuk melakar landskap baharu negara, selaras dengan usaha mendepani realiti politik Malaysia.
"Langkah pertama Barisan Nasional ke arah menstabilkan politik negara bermula di negeri Melaka, Melaka segalanya bermula," katanya.
Mandat kerajaan negeri Melaka menjadi milik tunggal BN setelah disahkan memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri pada Sabtu.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan BN memenangi 15 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!