Tiada penyokong, tiada masalah
TANPA sokongan penyokong sendiri, Kuala Lumpur (KL) City FC tetap bersemangat berdepan Melaka United FC menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Isnin.
Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard berkata, skuad The City Boys telah biasa berdepan dengan situasi sedemikian apabila penonton tidak dibenarkan hadir ke stadium berikutan peningkatan kes Covid-19.
“Jika diimbas kembali, hampir sepanjang musim ini kita dah bermain tanpa penonton. Jadi saya rasa tak ada masalah dan pemain-pemain juga tak rasa apa-apa perubahan besar.
“Paling penting, kami terus fokus bagi mengharungi aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang Melaka United. Kami semakin hampir untuk mencipta satu lagi sejarah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Pada Jumaat, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan bahawa KL City dikenakan hukuman perlawanan tanpa penonton bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Melaka United FC.
Keputusan itu dibuat berikutan insiden penyokong The City Boys yang bertindak memasuki kawasan padang ketika aksi suku akhir kedua antara KL City dan Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Mereka bertindak demikian bagi meraikan kejayaan KL City mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Selangor FC dengan agregat 3-0.
“Apa pun, kami akur dengan keputusan yang dibuat MFL apabila penonton tidak dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama di Cheras nanti,” ujarnya.
Ketika mengulas mengenai ujian calitan yang dijalankan ke atas pemain serta pegawai KL City FC, Stanley memberitahu: “Semuanya berjalan lancar dan tidak ada sebarang masalah yang tidak diingini timbul.”
Pengendali KL City, Bojan Hodak pula berkata, beraksi tanpa kehadiran penonton bukanlah sesuatu yang baharu baginya dan anak-anak buahnya memandangkan mereka telah mengharungi situasi sama sebelum ini.
Bagaimanapun, Bojak mengakui agak kecewa kerana penonton khususnya penyokong KL City tidak dibenarkan hadir ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada skuad kendaliannya.
“Sudah tentu penyokong kami kecewa tidak dapat datang ke stadium. Tetapi saya harap mereka akan terus memberikan sokongan kepada kami tidak kira di mana mereka berada,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!