Kempen Rasuah Busters pilih Mat Jujur
MELAKA - Misi Rasuah Busters menyebar mesej antirasuah terus diperhebatkan sehingga ke hari terakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan mengingatkan agar pengundi memilih calon berintegriti dan bersih.
Menerusi kempen Mat Jujur dan Mat Rasuah, pengundi di bumi Hang Tuah ternyata faham dan tahu menilai siapakah yang selayaknya dipilih pada hari penentuan PRN Melaka.
Bagi peniaga, Hasnah Kutti, 70, dia sememangnya hanya memberi undi kepada calon yang mengamalkan jati diri berintegriti tinggi dan sentiasa menolak rasuah.
Dia yang merupakan pengundi di Sungai Rambai berkata, dua perkara tersebut adalah sangat penting untuk memilih mana-mana calon bagi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), seterusnya memimpin negeri Melaka dengan baik.
“Untuk apa kita pilih pemimpin yang tidak mempunyai dua ciri utama ini. Sedangkan mereka yang akan menerajui negeri yang kita cintai ini.
“Jadi kempen Mat Jujur dan Mat Rasuah dianjurkan oleh Rasuah Busters ini adalah baik bagi menyedarkan orang ramai tentang kepentingan memilih calon yang menolak rasuah,” katanya yang ditemui Rasuah Busters pada Jumaat.
Sementara itu, peniaga kereta, Abdul Rahman Abu Bakar berkata, sikap jujur dan menolak amalan rasuah merupakan individu yang selayaknya diutamakan pengundi bagi memilih pemimpin, bukan sahaja di bumi Melaka tetapi di seluruh negara.
“Tindakan menyingkirkan pemimpin yang terlibat dengan amalan rasuah akan dapat menyelamatkan negara daripada terjerumus ke arah kehancuran.
“Kempen ini bagus. Pak cik suka kerana ia menyampaikan mesej secara tepat dan mudah difahami termasuk kepada kami yang sudah berusia,” katanya.
Perkara sama turut dipersetujui Ismail Bujal, 68, yang menyokong penuh usaha yang digerakkan oleh Rasuah Busters menyampaikan mesej antirasuah kepada seluruh masyarakat di negara ini.
Dia yang turut dikenali dengan panggilan mesra Pakya berkata, kempen Mat Jujur dan Mat Rasuah sempena hari pengundian adalah mesej mudah yang boleh terus dihadam masyarakat.
Katanya, logo Mat Rasuah bertanduk dan biji mata terpampang duit akan menyedarkan rakyat tentang individu jahat yang cuba membolot kekayaan negara demi kepentingan diri.
“Kempen ini akan menyedarkan lagi pengundi tentang kepentingan memilih calon yang bersih dan menolak rasuah.
“Saya menyokong penuh kempen Mat Jujur dan Mat Rasuah ini. Diharap aspirasi murni ini akan menyelamatkan kita daripada kesan buruk rasuah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!