Nuansa Abdul Razak Gurnah
KEJAYAAN sasterawan Abdul Razak Gurnah memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021, patut menjadi kebanggaan umat Islam seluruh dunia. Karyanya berbeza dengan sasterawan Muslim lainnya, yang secara sedar beliau membina subjektivitinya dari sudut-sudut keislaman, yang digabungkannya dengan nuansa pascakolonialisme.Bermuara dengan sejarah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, rakaman pengalaman zaman kolonialisme, saat-saat tercapainya hari pembebasan, dan usaha-usaha pengisian pascamerdeka bagi menganalisis kesan, pencarian jati diri dan pembinaan negara bangsa; semua karya sepanjang zaman itu dikenal sebagai sastera pascakolonial.
Sebagai pengarang yang berzuriat Arab Zanzibar, lahir 1948 mendapat pendidikan sastera Arab, fasih dengan syair dan prosa Islam klasik seperti Hikayat Seribu Satu Malam serta menguasai kisah-kisah nabi dalam al-Quran. Sewaktu berumur 20 tahun, 1968 migrasi ke England akibat revolusi di negara asalnya, yang memusuhi warga Arab. Mendapat kemudahan belajar, mengikuti pendidikan dalam bahasa Inggeris, berkenalan dengan teks Shakespeare dan tertarik dengan keilmuan pascakolonialisme. Setahun kemudian, 1969, mula menulis cerpen, yang mencitrakan pengalamannya sebagai pendatang. Diklasifikasikan sebagai pelajar pintar, dia mendapat peluang masuk universiti, mempelajari sastera pascamoden dan teori-teori sastera, terutamanya pascakolonialisme bagi menyiapkan tesis kedoktorannya Criteria in the Criticism of West African Fiction (1982).
Sebagai pensyarah sastera pascakolonial Abdul Razak menguasai strategi, teknik dan mekanisme penulisan karya kreatif yang berhubung dengan pengalaman penjajahan. Dia mula menulis esei mewacanakan sastera kolonialisme Afrika, dan kritikan pascakolonialisme kontemporari terhadap teks Salman Rushdie, Zoe Wicomb dan V.S.Naipaul dan pengarang-pengarang lainnya.
Kepahitan hidup
Abdul Razak Gurnah rajin membuat catatan tentang kepahitan hidup di negara asalnya. Tekanan sebagai pelarian yang dianggap rendah dan suaka, dihadirkannya dalam novel pertamanya Memory of Departure (1987). Bertebing dengan perasaan cinta terhadap tanah air, novel ini berjaya merakamkan pengembaraannya dan menghadapi segala kesukaran di negara orang. Hassan Omar, 15 tahun dari keluarga miskin, bermasalah dan terbiar, penuh kesedihan, meninggalkan negerinya ke Nairobi untuk mencari penghidupan baru.
Teks ini mendapat sambutan besar, justeru pencitraannya berterus terang, rinci, hidup dan artistik tentang warna-warni budaya kolonial Afrika. Dengan suara halus pengarang memohon empati dan simpati dunia terhadap manusia migrasi itu.
Pemikirannya dikekalkannya dalam Pilgrims Way (1988), protagonis Daud yang meninggalkan Tanzania berpindah ke England. Di negara baharu itu, kehidupan berbeza, rasa tersingkir dan kesukaran, justeru kesan kolonialisme itu menghantui perjalanan hidupnya. Dalam novel berikutnya Dottie (1990), pemikirannya berpusat kepada budaya konservatif dan isu kemanusiaan, yang berpunca daripada krisis politik, perpecahan dan konflik pascakolonialisme, yang kesanya melibatkan warga menjadi gelandangan, buangan dan migrasi. Teks ini paralel dengan novel David Copperfield karya Charles Dickens.
Sebagai pengkelana pertentangan antara kolonialisme dan pascakolonialisme menjadi subjek individual Abdul Razak. Melalui teks ke teks yang seterusnya, dia melakukan pengejapan dan pengukuhan subjek individual itu. Jelas dalam Paradise (1994) pengembaraan Yusof ke Afrika tengah dan Congo yang berlatar belakang kolonialisme. Protagonisnya mengikuti kafilah saudagar Arab Aziz, sebagai gadaian untuk membayar hutang ayahnya, pengusaha hotel terhadap saudagar Arab itu. Perjalanan hidup penuh liku dan intrik itu, eksistensi daripada kisah Nabi Yusof AS. Menariknya, naratif novel Paradise ini ditransformasi daripada teks kanon Joseph Conrad, Heart of Darkness (1902). Dengan melakukan beberapa persesuaian, demitefikasi dan haplologi novel ini sangat menarik, terpilih untuk Booker Prize for Fiction, yang menghantar namanya ke dunia global.
Pascakolonialisme
Abdul Razak Gurnah cukup sedar, bahawa subjektiviti pascakolonialnya membina ideologi dan idealismenya, yang kemudiannya memperlihatkan jati diri dan pembentuk individualismenya. Melalui Admiring Silence (1996), protagonisnya seorang guru di England, menziarahi negara asalnya Tanzania. Noltalgik, tetapi sedih berhadapan dengan rumbai-rumbai kolonialisme dengan jeratan ekonomi dan hegemoni budaya, serta impak pascakolonialisme.Dikatakan novel ini menjadi ciri pembeza Abdul Razak Gurnah dengan pengarang pascakolonial yang lainnya.
Melalui By the Sea (2001), Salleh Omar memasuki England dengan menghadapi halangan dan rintangan. Novel ini sebagai pengejapan subjektiviti pengarang dengan membawa citra sebuah teks konfrontasi yang menarik antara kesukaran pelarían dan gerakan golongan migrasi. Teks ini paralel dengan cerpen Bartleby, the Scrivener karya Henrman Melville.
Desertation (2005), percintaan seorang pengembara British ke Timur Afrika, jatuh cinta kepada Rehana, konflik dengan masalah kekeluargaan dan skandal. Sebuah teks metaforikal pertembungan pascamodenisme Barat dengan kolonialisme Afrika. Salim watak penting Gravel Heart (2017) mengalami perpisahan keluarganya di Zanzibar menyebabkannya migrasi ke England, dan berpeluang menuntut ilmu di negara moden itu. Afterlives (2020) sebagai novel terakhirnya, tidak berganjak dengan paradigma latar kolonialisme yang kejam dan hitam di Afrika.
Begitulah, kayanya pengalaman penjajahan pengarang. Kekuatannya pada mengungkapkan dengan cukup berkesan terhadap peristiwa kolonialisme, dan merakamkannya dengan segala suka dukanya yang begitu ajaib di mata khalayaknya. Pengarangnya berjaya mengungkap narasi keberadaan masyarakat migrasi dengan menciptakan identiti bangsa yang dibangunkan daripada kesakitan sejarah.
Sastera pascamoden tempat dia berpijak, dan teori pascakolonialisme sebagai mekanisme berkarya, yang disatukannya dengan keilmuannya. Sifat berani dan bijaksana sepanjang mengharung pengkaryaannya, adalah rahsia tersembunyi kejayaan novelis ini sebagai pengarang. Abdul Razak Gurnah, pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021, akan sentiasa dikenang sebagai contoh terbaik, menguasai sastera Islam, diperkuat dengan teks-teks pascamoden dan mengaplikasikan pelbagai teori sastera. Secara hibrid semuanya bergabung membina kepengarangan dan keunggulannya.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!