PRN Melaka titik permulaan kebangkitan UMNO, BN: Asyraf Wajdi
AYER KEROH - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu adalah bukti kebangkitan rakyat menerima semula parti itu.
Jelasnya, mandat telah diberikan, kini tanggungjawab terhadap rakyat akan ditunaikan demi kestabilan dan kemakmuran bersama.
"Ini amat kita rasa terharu, ia datang dengan tanggungjawab dan amanah. Ini suatu kebangkitan, di mana-mana tempat dengan sesi pertemuan pengundi, saya selalu sebutkan sejarah tanah air bermula di Melaka.
"Saya yakin Melaka akan jadi titik permulaan kebangkitan UMNO dan BN dalam menambat hati rakyat... kestabilan membawa kemakmuran kepada semua," jelasnya.
Tambahnya, beliau percaya rakyat Malaysia kini mendambakan model kesederhanaan yang ditampilkan BN.
"Melaka membuktikan kita mampu memenangkan calon MIC dan MCA di kawasan majoriti Melayu tidak besar.
"Model kestabilan BN adalah model terbaik membawa kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat, akhirnya manfaatnya kepada rakyat," jelasnya lagi. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!