Mekanik maut dihempap kereta
BAYAN LEPAS - Seorang mekanik maut selepas dihempap sebuah kereta ketika sedang membaikinya di sebuah premis di Kampung Bayan Lepas di sini pada malam Sabtu.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Pegawai Kanan Bomba II Helmirizal Che Morad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.54 malam.
Menurutnya, pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki tidak bergerak dengan keadaan sebuah kereta menghempapnya.
"Difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang membaiki sebuah kereta jenis Proton Saga dan tiba-tiba kereta terbabit menghempap separuh dari badan mangsa.
"Mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Katanya, kerja-kerja menyelamat mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan peralatan 'Rescue Tools' dan mangsa dikeluarkan pada jam 1.02 pagi.
"Identiti mangsa tidak dapat diperoleh dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi tamat pada jam 1.05 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!