PM ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China sempena memperingati ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China, pada Isnin menerusi persidangan video.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Ahad berkata, Sidang Kemuncak Khas itu akan memberi tumpuan kepada penilaian semula dan masa depan kerjasama ASEAN-China termasuk meningkatkan hubungan terhadap perkongsian strategik yang komprehensif.

Menurut kenyataan itu, China adalah rakan kongsi ASEAN paling dinamik dengan kerjasama dan kolaborasi dalam pelbagai sektor merangkumi kesemua tiga tonggak ASEAN.

“Penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak ini mencerminkan komitmen negara untuk terus mempertingkatkan lagi hubungan dialog ASEAN-China,” menurut kenyataan tersebut.

Wisma Putra berkata, Malaysia berharap Sidang Kemuncak Khas itu akan membuka jalan untuk para pemimpin mencapai kesepakatan berhubung matlamat saling memanfaatkan ke arah menggalakkan keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran bersama di rantau ini.

Menurut kenyataan itu, pada Sidang Kemuncak Khas itu Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri serta para pegawai kanan kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!