Satu PEDi bagi setiap kawasan DUN: Annuar
BERA - Kerajaan menyasarkan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya satu Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi lain akan memastikan kelancaran inisiatif berkenaan di samping menyediakan bahan atau kaedah yang boleh digunakan usahawan untuk mempromosikan produk mereka.
"Menerusi inisiatif ini usahawan mungkin dapat mempelajari cara untuk memasarkan produk mereka misalnya menggunakan video dan seumpamanya, saya yakin dengan cara pasaran yang betul terutama menggunakan saluran digital ia dapat membantu memperluaskan pasaran produk ke tahap lebih baik.
"Perintah Kawalan Pergerakan dan pandemik Covid-19 telah mempercepatkan proses digitalisasi dan sekali gus kita dapat melihat betapa pentingnya ia untuk semua pihak termasuk penduduk luar bandar... kita tidak mahu ada jurang digitalisasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran PEDi dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kampung Durian Tawar Bera di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut Annuar, peruntukan khusus hingga RM50,000 setahun akan diberikan kepada PEDi melalui SKMM bagi penganjuran program yang diperlukan.
“Kita sasarkan 800,000 usahawan akan mendapat manfaat menerusi PEDi... satu PEDi sekurang-kurangnya 1,000 peserta boleh mengikutinya kerana programnya semua jangka pendek dan mereka boleh pilih modul yang ingin diikuti,” katanya.
Setiap PEDi mempunyai panel penasihat tersendiri dianggotai wakil komuniti setempat untuk memberi saranan atau cadangan yang bersesuaian.
Katanya, bagi memastikan setiap lapisan dan golongan tidak ketinggalan dalam arus digitalisasi, penubuhan pusat seumpama itu turut dicadangkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!