Ibu bapa yakin SOP di sekolah
ALOR SETAR - Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pembukaan sekolah Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi jaminan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka kembali ke sekolah secara bersemuka pada Ahad.
Waris pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Aziz, Munirah Mohamad, 43, berkata, walaupun suasana pandemik masih belum reda namun dia berserah kepada Allah SWT dengan harapan anaknya sentiasa dilindungi daripada virus berkenaan.
Katanya, dia yakin KPM telah meneliti segala SOP yang telah digariskan untuk mengelakkan penularan dalam kalangan guru dan pelajar di sekolah.
"Walaupun dalam suasana pandemik sebegini belajar tetap kena belajar, apabila sekolah dah dibuka, kita tetap kena hantar anak ke sekolah.
"Perasaan risau ada juga sedikit tetapi sebagai waris kita perlu yakin Allah SWT sentiasa ada dan SOP yang ditetapkan itu adalah terbaik untuk pelajar," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Tunku Abdul Aziz, Mahayadin Abd Rahman berkata, seramai 226 pelajar peralihan hingga Tingkatan Empat dari kumpulan A memulakan persekolahan secara bersemuka pada hari pertama di sekolah berkenaan.
Beliau berkata, para pelajar didapati mematuhi segala SOP yang ditetapkan termasuk membawa QR kod kehadiran yang dibekalkan pada sesi persekolahan sebelum ini.
"Pergerakan pelajar bermula daripada pagar sekolah kemudian mereka akan imbas kod kehadiran dan imbasan suhu sebelum masuk ke kelas masing- masing.
"Jika ada pelajar yang suhunya melebihi 37.5 darjah Celsius kita akan asingkannya di bilik khas untuk pemantauan lanjut dan menghubungi waris mereka," katanya.
Menurutnya, waktu rehat pelajar juga dibahagi kepada dua sesi iaitu menengah rendah dan menengah atas untuk mengelakkan kesesakan di kantin.
"Pergerakan pelajar pada waktu rehat turut dipantau guru-guru bertugas untuk memastikan SOP penjarakan fizikal dipatuhi pelajar ketika urusan pembelian makanan di kantin," ujarnya.
Menurutnya, pelajar juga akan dibenarkan pulang secara berperingkat iaitu mengikut kelas yang diumumkan oleh guru bertugas.
"Kita akan benarkan mereka pulang secara berperingkat, lepas satu-satu kelas supaya tidak berlaku kesesakan ketika turun tangga dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Rozaini Ahmad berkata, seramai 25,1012 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah (pelajar peralihan hingga Tingkatan Empat) memulakan persekolahan secara bersemuka pada Ahad.
"Jumlah itu melibatkan 548 sekolah rendah dan 204 buah sekolah menengah di negeri Kedah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!