Warga emas sesat lebih 13 jam ditemui selamat
TANJUNG MALIM - Seorang lelaki warga emas yang sesat lebih 13 jam ketika meninjau tanah di sebuah hutan berhampiran Sungai Bil di sini ditemukan selamat pada Ahad.
Mangsa yang berusia 60 tahun itu ditemukan oleh pasukan penyelamat kira-kira jam 9.40 pagi sebelum dibawa keluar.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan gerakan mencari dan menyelamat dilakukan sebaik laporan mengenai kejadian itu diterima pada jam 8.34 malam pada Sabtu.
"Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim menerima maklumat berkenaan kehilangan mangsa daripada pihak polis.
"Ketika kejadian, mangsa bersama dua rakan telah masuk ke hutan atas urusan tinjauan tanah sebelum disedari hilang," katanya.
Menurutnya, seramai 48 pegawai dan anggota daripada JBPM, Polis, Pasukan Bomba Sukarelas Slim Village, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi tersebut.
"Dua kumpulan digerakkan untuk melakukan pencarian dengan kaedah 'hasty search' dan 'follow the stream'.
"Mangsa akhirnya ditemui oleh kumpulan pertama di 'check point' pertama iaitu dua kilometer dari Pos Kawalan Bomba," katanya.
Katanya, mangsa ditemui selamat tanpa kecederaan dan operasi ditamatkan pada jam 10 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!