'Saya wakil rakyat semua pengundi Sungai Udang'

Dr Mohd Aleef. - Foto Bernama
Dr Mohd Aleef. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - "Saya adalah wakil rakyat bagi semua pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang termasuk mereka yang menyokong parti lain," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Mohd Aleef, 35, bekas doktor perubatan di sebuah hospital swasta di Melaka berkata, beliau bukan sahaja akan memberi fokus pada kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan sebahagian besar pengundi DUN itu, malah seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan tanpa mengira parti.

"Saya rasa sangat gembira, teruja dan bersyukur dikurniakan amanah sebagai wakil rakyat Sungai Udang dan akan bekerja kuat demi amanah ini.

"Saya komited untuk pastikan semua pengundi mendapat hak kebajikan dan keperluan yang telah diperuntukkan untuk mereka," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Mohd Aleef dipilih sebagai wakil rakyat selepas mendapat undi sebanyak 6,789 undi menewaskan tiga lagi calon termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu.

Dalam persaingan empat penjuru itu, beliau memperoleh majoriti 530 undi mengatasi calon BN, Pakatan Harapan (Hasmorni Tamby) dan Bebas (Mohd Zahar Hashim).

Beliau berkata, kejayaan yang diraih itu adalah kemenangan jentera Perikatan Nasional (PN) Sungai Udang yang telah bekerja keras dan konsisten dalam beberapa tahun lepas untuk memastikan kemenangan parti tersebut di DUN berkenaan.

"Ini kali pertama saya menyertai pilihan raya negeri di bawah tiket PN dan dipilih sebagai ADUN Sungai Udang... ia menjadi titik tolak saya untuk bekerja kuat bukan sahaja untuk rakyat tetapi untuk PN," katanya yang merupakan calon muda yang bertanding di DUN Sungai Udang dalam PRN itu.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN Melaka pada Sabtu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka dengan mencatat kemenangan dua pertiga, diikuti PH (lima kerusi), PN (dua kerusi).

Sebanyak 326,068 atau 65.85 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!