Palestin bantah langkah Britain haramkan Hamas
RAMALLAH - Palestin pada Sabtu menolak keputusan Britain untuk menamakan pergerakan Hamas sebagai kumpulan pengganas, menyifatkannya sebagai satu tindakan tidak wajar terhadap rakyat Palestin, lapor Agensi Berita Xinhua.
“Keputusan Britain itu bertentangan dengan rakyat Palestin,” menurut Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan akhbar.
Ia juga dilihat seakan London akur kepada tekanan Israel sekali gus akan menghalang usaha mencapai keamanan serta memulakan pembinaan semula di Semenanjung Gaza.
Setiausaha Dalam Negeri Britain, Priti Patel berkata, pada Jumaat beliau telah mengharamkan “Hamas secara keseluruhan termasuk sayap politiknya".
Pengharaman itu yang sepatutnya diluluskan Parlimen, akan menjadikan satu kesalahan untuk menjadi anggota atau menyokong Hamas di Britain.
Briged al-Qassam telah dikategorikan sebagai kumpulan pengganas oleh Britain sejak 2001.
Hamas, yang ditubuhkan pada 1987, telah mentadbir Semenanjung Gaza sejak mengambil alih kawasan itu pada 2007. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!