Ancaman gajah jejas pendapatan peneroka Felda di Kota Tinggi

Rosleli Jahari
Rosleli Jahari
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seramai 200 peneroka Felda di sekitar daerah Kota Tinggi hilang pendapatan berikutan ancaman gajah liar sejak lebih 10 tahun lalu yang telah memusnahkan tanaman kelapa sawit mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, isu ancaman gajah liar merupakan sesuatu yang serius memandangkan keluasan ladang kelapa sawit yang dirosakkan sudah mencecah ratusan hektar selain telah meragut empat nyawa.

"Semakin hari, semakin berterusan ancaman gajah. Sejak berpuluh tahun kawasan di empangan Seluyut menjadi habitat gajah, namun selepas kawasan terbabit dijadikan empangan dan takungan air, tiada lagi kawasan tetap buat gajah.

"Disebabkan itu, kawasan ladang kelapa sawit di sekeliling empangan Seluyut iaitu di Bukit Waha, Simpang Waha, Gugusan Lok Heng, Air Tawar 2 dan 3 serta Pasak menjadi sasaran gajah," katanya ketika sidang akhbar selepas sesi perbahasan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor yang ke-14 di sini pada Ahad.

Menurut Rosleli, kenaikan harga sawit yang kini berada pada paras tinggi mencecah RM1,500 setiap tan tidak dapat dinikmati golongan peneroka akibat kelapa sawit di kawasan ladang mereka telah dirosakkan gajah liar.

"Saya membawa keluhan dan rintihan hati penduduk dan peneroka Kota Tinggi yang sudah tidak dapat bertahan dengan ancaman gajah yang memusnahkan sumber pendapatan mereka.

"Jika peneroka lain mampu dapat pendapatan sehingga RM10,000 sebulan berikutan harga sawit yang tinggi, namun kira-kira 200 peneroka di beberapa kawasan di Kota Tinggi hilang pendapatan berikutan tanaman mereka musnah akibat gajah malah kini terpaksa berhutang," katanya.

Justeru beliau berharap isu ancaman gajah liar yang dibangkitkan mendapat perhatian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan mengambil langkah sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!