Keluarga hasrat laksana haji untuk arwah Siti Saraf
KOTA BHARU - Keluarga kepada Allahyarham Siti Saraf Ismail, 25, yang meninggal dunia sehari selepas berkahwin pada bulan lalu berhasrat menunaikan ibadat haji buat arwah menggunakan wang Badan Khairat Kematian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia (BAQA) berjumlah RM10,000 yang diterima di sini pada Ahad.
Ibu Allahyarham, Mek Limoh Ismail, 64, berkata, arwah pernah menyuarakan hasrat untuk melaksanakan ibadat haji namun tidak kesampaian apabila terlebih dahulu meninggal dunia.
Katanya, ibadat haji itu akan dilaksanakan dengan upah menggunakan wang BAQA yang diberikan kepada waris Allahyarham Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) JPJ Putrajaya itu.
“Arwah anak bongsu daripada empat beradik dan sememangnya rapat dengan keluarga.
“Duit RM10,000 daripada BAQA ini, dengan izin ALLAH akan digunakan untuk melaksanakan ibadat haji buat Allahyarham Siti Saraf,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Karang Banggu, di sini, pada Ahad.
Mek Limoh sebelum itu menerima sumbangan BAQA tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Aminurrahim Mohamed.
Hadir sama, Timbalan Pengarah JPJ Negeri Kelantan, Nik Azhan Ab Hadi.
Sementara itu, suami arwah, Mohamad Amirul Akmal Aziz, 25, berkata, hasrat haji itu disuarakan Siti Saraf kepadanya sebelum mereka melangsungkan perkhawinan pada 23 Oktober lalu.
“Arwah pernah berbual dengan saya dan kami merancang untuk menunaikan haji atau umrah bersama-sama.
“Alhamdulillah, kalau dapat buat haji atau umrah kepada arwah ini, saya sudah cukup gembira,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) JPJ Putrajaya, Siti Saraf meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, akibat pendarahan otak pada 24 Oktober lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas sehari selamat diijab kabul kepada pasangannya, Mohamad Amirul Akmal pada 23 Oktober lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Hanya sehari bergelar suami isteri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!