'Tahniah BN, nafi usaha PH kembali memerintah di Melaka'
PENDANG - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah memenuhi sasaran beberapa pihak terutamanya menafikan semula usaha Pakatan Harapan (PH) untuk kembali memerintah sebagai kerajaan di negeri tersebut.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim, biarpun berlaku pertembungan membabitkan BN dan juga Perikatan Nasional (PN) di PRN Melaka, namun keputusan yang diraih pada Sabtu tetap memenuhi objektif pihaknya.
"Tahniah kepada BN atas kemenangan mereka di PRN Melaka semalam (Sabtu).
"Kita perlu lihat semula semua perkara dari segenap sudut. Kalau peratusan mengundi semalam mencecah 80 peratus, ia mungkin mengubah keputusan.
"Namun di sini kita melihat orang Melayu berbalik kepada penyatuan ummah. Negara kita pernah diperintah PH selama 22 bulan dan keputusan semalam saya rasakan sesuatu yang positif kepada penyatuan ummah agar umat Islam dan agama lebih terjamin," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Titi Haji Idris, dekat sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Awang berkata, faktor-faktor lain juga perlu dilihat terutamanya menjelang Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 kerana situasi diihat berbeza pada PRN Melaka kali ini.
Menurutnya, peratusan individu yang keluar mengundi di PRN Melaka cuma sekitar 60 hingga 65 peratus sahaja dan perkara tersebut perlu dilihat dengan lebih mendalam selepas ini.
"Bermakna ada kira-kira 40 peratus lagi pengundi yang tidak keluar terutamanya membabitkan golongan berusia antara 21 hingga 35 tahun.
"Mereka ini golongan yang skeptikal dan mungkin ada juga dalam kalangan pengundi terutamanya yang tinggal di luar Melaka, sudah hilang rasa 'ghairah' untuk balik menunaikan tanggungjawab mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!