MAFI bangunkan industri perikanan tuna secara mapan
LABUAN - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membangunkan industri perikanan tuna negara dengan penglibatan aktif pemain industri perikanan laut dalam.
Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 telah dirangka dalam merealisasikan hasrat kementerian itu.
“Industri perikanan tuna ini mempunyai potensi yang besar sebagai sumber kekayaan baharu negara untuk dikembangkan di Sabah dan Labuan selaras dengan transformasi serta pembangunan sektor perikanan yang menyeluruh di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0,” katanya pada majlis libat urus pengurusan tertinggi bersama pemain industri tuna di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Beliau turut menyeru agar pelabur dan pemain industri sedia ada membuka kilang serta mengusahakan vesel tuna selain menjadikan Labuan sebagai hab untuk pasaran ke Semenanjung Malaysia dan luar negara.
“Kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta amat penting dalam memastikan pembangunan industri Tuna terus berkembang di negara ini serta dapat dimanfaatkan oleh semua pihak," ujarnya.
Ronald juga berkata, manfaat yang bakal diperoleh tidak hanya terhad kepada aktiviti penangkapan ikan tuna sahaja malah pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan dan pemprosesan.
"Malaysia harus mengambil peluang sebagai ahli Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC) untuk menghantar lebih banyak vesel perikanan menangkap ikan di lautan itu dan menggalakkan lebih banyak vesel tuna mendarat di negara ini.
“Kerajaan juga berhasrat menyertai satu lagi organisasi pengurusan perikanan antarabangsa yang menguruskan sumber tuna di sebelah Lautan Pasifik iaitu Suruhanjaya Perikanan Pasifik Barat dan Tengah (WCPFC) selain IOTC yang telah Malaysia sertai sebelum ini iaitu sejak 1998,” katanya.
Ronald berkata, langkah itu akan membolehkan Malaysia merancakkan industri tuna dan perikanan laut dalam.
Beliau berkata, setakat Oktober 2021, sebanyak 20 vesel tuna iaitu 19 vesel penangkapan ikan dan sebuah vesel pengangkut telah dilesenkan serta beroperasi di Lautan Hindi.
“Kerajaan menggalakkan sehingga 74 vesel penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi menjelang tahun 2030 selari dengan jumlah kuota yang diperuntuk oleh IOTC untuk beroperasi di kawasan itu.
“Masih berbaki 54 kuota lagi yang belum dipohon dan kerajaan mengalu-alukan pemain industri memohon permit untuk terlibat sama dalam penangkapan ikan tuna di Lautan Hindi,” jelasnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!