Jaringan Nur Syaza julang Kuala Lumpur

Kuala Lumpur juara kategori wanita Kejuaraan Piala Tun Razak selepas menewaskan Pahang.
Kuala Lumpur juara kategori wanita Kejuaraan Piala Tun Razak selepas menewaskan Pahang.
A
A
A

JARINGAN tunggal Nur Syaza Afiqah Safawi sudah cukup untuk Kuala Lumpur meraih kejuaraan TNB Piala Tun Abdul Razak apabila menewaskan juara bertahan Pahang 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional malam ini.

Ketika permainan berbaki tujuh minit dan tampak seakan berakhir dengan kedudukan seri tanpa jaringan, Nur Syaza memanfaatkan peluang dimiliki dan meledak di depan gol Pahang untuk memastikan kemenangan buat skuad bandaraya itu.

Kejuaraan itu merupakan yang kedua buat Kuala Lumpur selepas kali pertama meraih kejayaan pada 2018 dengan menumpaskan Selangor.

Pada edisi 2029, Kuala Lumpur juga layak ke final tetapi terpaksa akur kehebatan Selangor.

Biarpun turun dengan reputasi tinggi sebagai juara tiga kali selain memegang rekod empat kali layak ke final sejak edisi pertama pada 2016, Pahang nyata gagal menyaingi kemampuan Kuala Lumpur yang menyerap tekanan.

Dua suku pertama menyaksikan permainan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menembusi benteng lawan masing-masing tetapi gagal melakukan penyudahan.

Permainan selepas separuh masa menyaksikan Kuala Lumpur lebih banyak melakukan serangan ke dalam kawasan D Pahang, yang akhirnya membuahkan hasil apabila Nur Syaza berjaya menolak masuk hantaran bola untuk membolosi gawang Pahang.

Sementara itu, Jurulatih Kuala Lumpur, A Kannagi nyata berpuas hati dengan prestasi anak buahnya biarpun terpaksa menunggu hingga akhir suku keempat sebelum menghasilkan gol kemenangan.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya kekuatan kedua-dua pasukan nyata seimbang. Benteng pertahanan Pahang memang sukar ditembusi jadi apa saja peluang di depan gol perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” kata Kannagi dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Jurulatih Pahang, Mohamad Sabri Mohamad berpuas hati dengan pencapaian pasukannya yang kebanyakan dibarisi pemain skuad Sukan Malaysia (Sukma) Pahang.

“Mungkin ini kali pertama kebanyakan pemain bermain di pentas final, jadi tak cukup pengalaman. Tetapi secara keseluruhan pemain menunjukkan kemampuan tinggi dan saya puas hati kerana kita lepasi sasaran setakat separuh akhir sebelum ini,” katanya.

Kemenangan itu meletakkan Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor masing-masing berkongsi kejuaraan sebanyak dua kali sejak kejohanan pertama pada 2016.


TNB PIALA TUN ABDUL RAZAK 2021


JUARA: Kuala Lumpur

NAIB JUARA: Pahang

KETIGA: Pulau Pinang

FAIRPLAY: Sabah

PENJARING TERBANYAK: Nuramirah Shakirah Zulkifli (Kedah) 7 gol

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN AKHIR: Nur Zafirah Aziz (Kuala Lumpur)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!