Bermuhasabah dalam kemenangan

Ahmad Zahid bersama kepimpinan BN meraikan kemenangan besar dua pertiga majoriti bagi membentuk kerajaan negeri Melaka pada PRN di Command Center BN. Foto Bernama
Ahmad Zahid bersama kepimpinan BN meraikan kemenangan besar dua pertiga majoriti bagi membentuk kerajaan negeri Melaka pada PRN di Command Center BN. Foto Bernama
A
A
A

TIADA siapa yang boleh menafikan Barisan Nasional (BN) tetap memiliki auranya yang tersendiri apabila berjaya meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun ‘bergelut’ dengan pelbagai konflik sebelum ini.

Buktinya jelas dengan keputusan luar biasa apabila menyapu 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya yang sarat dengan kekangan susulan prosedur operasi standard (SOP) ketat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Justeru, tidak salah untuk mana-mana pemimpin atau ahli parti itu ingin meraikan kemenangan, namun haruslah diingat biarlah berpada-pada dan jangan berlebihan kerana ujian sebenar adalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Peringatan itu turut disuarakan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menerusi catatan di Facebooknya sebaik BN disahkan kembali mentadbir Melaka.

Sebagai ingatan buat dirinya dan rakan-rakan pendukung parti, Shahril berkata, semua pihak harus cermat dalam membuat beberapa perkara termasuklah tidak riak atau mendongak dengan kemenangan tersebut.

Tegasnya lagi, analisis secara mendalam perlu dilakukan untuk melihat keputusan dalam pelbagai sudut supaya parti tidak membuat kesimpulan mudah dan cepat merasa selesa.

Selain itu, Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menyuarakan pandangan hampir serupa dengan mengatakan masih terlalu awal bagi BN untuk bergerak secara solo pada PRU akan datang.

Jelasnya, meskipun BN berjaya memenangi PRN Melaka, namun parti juga perlu mengkaji lebih mendalam statistik 65 peratus pengundi yang keluar mengundi sebelum memutuskan sama ada akan bergerak solo atau sebaliknya nanti.

Artikel Berkaitan:

Jika dinilai kenyataan oleh kedua-dua pemimpin muda ini, ada asasnya yang perlu diberi pertimbangan sewajarnya oleh parti terutamanya barisan pemimpin utama BN.

Sudah pasti sasaran utama BN adalah untuk menang dengan selesa dalam PRU akan datang bagi membolehkan mereka mentadbir negara secara mutlak, bukan lagi ‘berkongsi kuasa’ seperti mana ketika ini.

Formulanya mungkin sudah ada, cuma terserah kepada BN untuk memantapkan lagi gerak kerja dalam menghadapi pilihan raya yang dijangka sengit kerana apa pun yang dilakukan kuasa tetap ditangan rakyat.

Maka jangan sesekali abaikan kehendak dan keperluan rakyat.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!