City kembali menghuni tangga kedua EPL
MANCHESTER City kembali menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris selepas meraih kemenangan bergaya 3-0 keatas Everton di Stadium Etihad pada Ahad.
Juara liga musim lalu itu, mendominasi permainan sejak awal perlawanan manakala Everton dilihat sedikit bergelut namun berjaya mencipta beberapa peluang pada separuh masa pertama.
Penyerang The Citizens, Raheem Sterling berjaya meletakkan City dihadapan seminit sebelum rehat, apabila merembat masuk hantaran bek sayap Joao Cancelo.
Pemain tengah Sepanyol, Rodri menjadikan kedudukan 2-0 buat City apabila sepakan deras dari jarak lebih 20 meter berjaya melepasi penjaga gol Everton, Jordan Pickford.
Pemain tengah City, Cole Palmer, yang membuat penampilan sulungnya di Liga Perdana Inggeris berjaya mencipta peluang untuk gol ketiga apabila rembatannya ditepis Bernardo Silva yang kemudiannya dengan tenang memasukkan gol ketiga.
"Kami memberikan rentak dalam permainan kami, mereka bertahan dengan sangat baik, dan banyak melakukan serangan balas.
"Keseluruhannya kami mengawal permainan. Kami bermain permainan yang sepatutnya kami mainkan untuk menewaskan pasukan seperti Everton.
"Apabila satu pasukan datang hanya untuk bertahan, ia sentiasa sukar dan anda perlu berhati-hati. Kualiti yang dimiliki oleh pemain kami membezakan perlawanan ini," kata Guardiola.
Untuk rekod, City kini ketinggalan tiga mata dibelakang pendahulu liga Chelsea yang mengutip sebanyak 29 mata dan dibezakan satu mata dengan Liverpool yang berada di tangga ketiga.
Everton di bawah kendalian Rafa Benitez gagal menghasilkan sebarang kemenangan dalam enam perlawanan sebelum ini dan kini berada di kedudukan ke-11 dengan 15 mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!