Bekas warden penjara didakwa menyamar polis

Zakwan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyamar sebagai anggota polis.
Zakwan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyamar sebagai anggota polis.
A
A
A

IPOH - Bekas warden penjara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas tuduhan menyamar sebagai anggota polis minggu lalu.

Tertuduh, Zakwan Mahuri, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa berpura-pura memegang sesuatu jawatan sebagai penjawat awam dengan menyamar sebagai anggota polis atau dengan palsunya menyamari seseorang lain yang memegang jawatan itu dan sebagai orang yang disamarinya itu melakukan apa-apa perbuatan atas kuasa jawatan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pekarangan Pejabat Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kira-kira jam 9.50 pagi pada Khamis lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, Zakwan ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan selain gagal menunjukkan kad kuasanya sebagai pegawai kanan polis.

Artikel Berkaitan:

Lelaki itu yang berpakaian biasa dan berkasut kawad mendakwa seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan bertugas di Penjara Tapah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!