AFC yakin Qatar 2022 sukses
GENAP setahun sebelum sepak mula Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berpuas hati dengan persiapan yang disifatkan sebagai sempurna, menjelang edisi kedua kejohanan berprestij itu yang dianjurkan di benua Asia.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata konfederasi itu optimis edisi yang akan bermula 21 November 2022 akan mencapai sukses.
“Semalam bermulalah kira detik setahun menjelang sepak mula di Qatar, edisi kedua Piala Dunia FIFA dianjurkan di benua Asia selepas Korea Selatan dan Jepun pada 2002.
“Qatar sudah sedia dari semua sudut, khususnya venue perlawanan yang siap sepenuhnya.
“Persiapan Qatar layak dipuji kerana segala-galanya sudah siap setahun awal,” katanya yang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC kelapan bagi penggal 2019-2023 di Manama, Bahrain pada Ahad,
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa. Hadir sama, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.
Selain itu, beliau yang juga merupakan ahli jawatankuasa eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023 berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan komitmen AFC dalam menyokong ahli gabungannya bangkit membangunkan semula industri bola sepak seluruh benua, khususnya bagi meringankan beban negara anggota menghidupkan peringkat belia dan pembangunan akar umbi.
“Mesyuarat turut membincangkan pembangunan teknikal, pengadil dan sudut komersial selain perkembangan terkini mengenai Piala Asia 2023 di China.
“AFC juga memberi tumpuan memperkasakan struktur pembangunan belia dengan menekankan kategori bawah 20 dan bawah 17 tahun,” ujarnya.
Tambah Hamidin, semua aktiviti bola sepak berdepan cabaran kelangsungan industri disebabkan impak Covid-19 yang kini sedang menuju ke fasa pemulihan dan seterusnya endemik.
“Dalam mendepani cabaran ini, ahli gabungan sentiasa menerima garis panduan AFC dalam menyedia dan mematuhi protokol pertandingan untuk menjayakan penganjuran semua perlawanan bola sepak, termasuk bola sepak wanita, futsal, bola sepak pantai dan belia dengan misi menentukan masa depan lebih baik buat bola sepak benua Asia.
“Sepanjang dua tahun ini industri bola sepak terjejas apabila pelbagai pertandingan berdepan penangguhan dan pembatalan, malah sesetengah negara hanya membenarkan separuh kapasiti stadium disebabkan kita mahu mengekang rantaian pandemik Covid-19.
“Apa yang pasti, pandemik ini jelas memberikan kesan kepada semua pihak dan bola sepak tidak terkecuali. Apa pun AFC sentiasa memberi komitmen terbaik dalam memastikan kelangsungan bola sepak wanita, bola sepak pantai, futsal dan belia di setiap negara ahli gabungannya,” kata Hamidin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!