Isu TH: Siasat secara telus, bukan balas dendam

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas mengalu-alukan sebarang langkah untuk memperbetulkan dan membaiki Tabung Haji (TH) sebagai satu institusi penting umat Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, kesalahan penyelewengan atau salah laku yang mempunyai bukti kukuh dan saksi perlu dibawa ke muka pengadilan mengikut tatacara penyiasatan dan pendakwaan yang telus.

"Kita tidak mahu kesalahan itu dihukum oleh orang ramai melalui persepsi dan olahan media massa serta kenyataan-kenyataan politik yang mengelirukan dan menambah buruk keadaan,"katanya.

Menurutnya mengikut kaedah Islam dan pengadilannya, mana-mana pihak yang didakwa atau dituduh, tidak boleh dihukum bersalah sehingga jelas terbukti bahawa mereka bersalah melalui proses penghakiman yang adil dan telus.

"Tentu sahaja semua pihak ternanti-nanti untuk melihat fakta dan bukti penyelewengan yang berlaku dalam TH.

Diharap pendedahan terhadap penyelewangan yang didakwa berlaku dalam TH kini, bukan hanya sekadar satu lagi siri balas dendam kerajaan PH terhadap kerajaan lama yang direka tanpa bukti yg kukuh,"katanya.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan supaya dakwaan itu bukan dibuat hanya untuk mengalih perhatian rakyat terutamanya masyarakat Islam dan Melayu daripada Himpunan Tolak ICERD yg akan di adakan pada hari sabtu ini.

"Lebih malang lagi sekiranya ianya dibuat dengan niat yang tidak baik dan mempunyai agenda tertentu untuk meruntuhkan satu institusi Islam serta menghilangkan keyakinan umat Islam terutamanya pendeposit terhadap TH," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tentukan kesalahan itu melalui proses keadilan yang betul dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang diperjuangkan selama ini.

"Salah tetap salah, tiada kompromi pada yang salah namun yang benar itu benar jangan runtuhkan kebenaran itu dengan fitnah dan tohmahan,"tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!