Jakim gubal Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya Muslim
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menggubal Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya Muslim (PTOKUM) sebagai dukungan kepada Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Kebangsaan bagi memastikan OKU mendapat kefahaman yang baik mengenai Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, penggubalan pelan itu juga sebagai sokongan kepada dasar sedia ada iaitu Dasar OKU Negara yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menurutnya, kerjasama rentas kementerian sudah dilakukan seawal perancangan Pelan PTOKUM pada 5 hingga 6 Ogos 2020 yang telah diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.
Katanya, Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Pemerkasaan OKU bersama-sama KPWKM dan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) turut diadakan pada 17 September 2020.
"Pelan ini juga telah melalui beberapa sesi Libat Urus di peringkat Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
"Libat urus membabitkan kementerian yang berkaitan akan diadakan dari masa ke masa mengikut keperluan bagi memperkemaskan pelan ini sebelum ia dilaksanakan pada tahun 2022 bagi melengkapi Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan Dasar OKU Negara sedia ada," katanya di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) mengenai sejauh mana kerjasama
rentas Kementerian dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan Dasar Pemerkasaan OKU Rabbani mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.
Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa menjelaskan, usaha tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat cakna terhadap keperluan OKU Muslim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!