PBS bantu bomba dalam operasi banjir di Pahang
KUANTAN - Pasukan Bomba Sukarela (PBS) akan digerakkan bagi membantu pihak bomba dalam penugasan operasi banjir sekiranya bencana itu berlaku di Pahang.
Exco Kerajaan Tempatan dan Prrumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, terdapat 34 PBS di Pahang dengan seramai 973 anggota yang boleh digerakkan bagi tujuan itu.
Menurutnya, pasukan itu akan bertindak sebagai penyalur maklumat kepada jabatan bomba berhubung perkembangan banjir di kawasan masing-masing.
"PBS akan memberi tindak balas awal sekiranya banjir berlaku di kawasan mereka termasuk memberi amaran awal dan mengarahkan mangsa yang terlibat supaya berpindah.
"Tindakan itu dapat membantu mangsa berpindah lebih awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau ke tempat lebih selamat dan tidak menunggu untuk diselamatkan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dan Penyerahan Geran Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan timbalannya, Mohd Zahar Abdullah.
Abd Rahim berkata, pasukan itu menjalani latihan dan boleh digerakkan pada bila-bila masa sekiranya khidmat mereka diperlukan.
Mengulas berhubung geran kepada PBS, beliau berkata, sebanyak RM102,000 diperuntukkan pihak JBPM untuk diagihkan kepada 34 PBS berdaftar dan aktif di Pahang.
"Setiap pasukan menerima RM3,000 melalui geran ini untuk keperluan aktiviti mereka. Geran ini sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan peranan PBS yang banyak membantu pasukan operasi kebakaran dan penyelamatan mangsa bencana sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, JBPM Pahang bersiap sedia menghadapi kesan Monsun Timur Laut di Pahang termasuk dalam aspek keanggotaan dan logistik.
Menurutnya, JBPM Pahang akan menggerakkan kira-kira 1,000 anggota, 50 bot dan 37 kenderaan darat bagi operasi menyelamat mangsa sekiranya banjir.
"Pada masa sama, kami bersedia dengan helikopter dari Unit Udara Bomba sekiranya keadaan memerlukan terutama dalam operasi penghantaran bekalan dan membawa pesakit," katanya.
Wan Mohammad Zaidi berkata, cuti melibatkan semua anggota akan dibekukan apabila banjir berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!