Pelitup muka: JKNK keluar tujuh kompaun bernilai RM10,500
KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan tujuh kompaun dengan nilai RM10,500 kepada individu yang gagal memakai pelitup muka dengan sempurna dalam operasi bersepadu di Pasar Besar Siti Khadijah dan Medan Selera Bazar Buluh Kubu di sini pada Ahad.
JKNK menerusi kenyataan di laman Facebook memaklumkan, kompaun itu dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDDKTJ) Pelan Pemulihan Negara Fasa Tiga 2021.
“Dalam operasi berkenaan, 85 premis telah dipantau dan 100 individu telah diberi pendidikan kesihatan,” menurut kenyataan itu pada Isnin yang turut memaklumkan operasi disertai 15 anggota daripada JKNK, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut JKNK, pihaknya turut mengeluarkan satu kompuan berjumlah RM250 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 iaitu Peraturan 11(1)(d) kerana merokok di kawasan larangan kedai makan.
“Selain itu dalam operasi yang sama, satu kompaun juga telah dikeluarkan oleh anggota PBT atas kesalahan berkaitan pelesenan,” menurut kenyataan itu.
Katanya, JKNK turut meminta masyarakat untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) tidak kira di mana mereka berada bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!