Kerjasama ASEAN, China penting bagi pengembangan rantai bekalan: PM
KUALA LUMPUR - Malaysia berpandangan bahawa Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan China harus bekerjasama dalam bidang ekonomi, transformasi, infrastruktur dan kesalinghubungan bagi memastikan rantaian bekalan kekal lancar tanpa halangan selain terus berkembang dari segi pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.
Ketika berkongsi pandangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perjanjian perdagangan bebas ASEAN-China yang menyeluruh juga mampu menyumbang kepada usaha mempercepat pemulihan serta daya tahan serantau.
"Malaysia juga menggalakkan ASEAN dan China supaya bekerjasama dalam bidang kesihatan awam dan keupayaan farmaseutikal melalui perkongsian teknologi, kepakaran dan harta intelek,” katanya pada sidang media mengenai hasil Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China bagi memperingati ulang tahun ke-30 Dialog ASEAN-China secara maya pada Isnin.
Kenyataan Perdana Menteri itu disampaikan menerusi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Sidang kemuncak tersebut telah dipengerusikan bersama oleh Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden China, Xi Jinping.
Sementara itu, mengulas pendirian terkini Malaysia mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative-BRI) dengan China, Saifuddin berkata, negara ini masih berpendirian sama walaupun di bawah kerajaan berbeza.
“(Namun) mungkin dengan penekanan berbeza bagi projek tertentu. Bagaimanapun, Malaysia secara keseluruhannya sentiasa menyokong BRI sama ada di bawah (pentadbiran) kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan kerajaan sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan bersama Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China itu, pihak terbabit menegaskan komitmen terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, bebas, inklusif, telus dan tiada diskriminasi dari segi peraturan berdasarkan teras Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Pada masa sama, ia turut menyatakan kesediaan dalam menjadikan ekonomi global lebih terbuka, inklusif, seimbang dan memberi manfaat untuk semua.
ASEAN-China juga mengalu-alukan pelaksanaan Perjanjian RCEP pada 1 Januari 2022 dan memberi komitmen untuk saling bekerjasama demi manfaat untuk perniagaan dan rakyat di rantau berkenaan.
“Usaha akan diambil bagi melaksanakan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) dan elemen selebihnya dalam Program Kerja Masa Depan di bawah Protokol Peningkatan ACFTA selain turut menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama untuk meninjau bidang lain yang boleh dimasukkan dalam memperkukuh ACFTA,” katanya.
Ini termasuk mewujudkan lebih banyak peluang perdagangan dalam ekonomi digital serta menerapkan sumber-sumber pertumbuhan baharu bagi kerjasama dan usaha ke arah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China yang lebih inklusif, moden, komprehensif serta saling menguntungkan, kata kenyataan itu.
Malah, ini dapat mempercepat pelaksanaan Kenyataan Bersama ASEAN-China mengenai peningkatan Sinergi Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN (MPAC) 2025 dan BRI dalam merealisasikan kerjasama saling memanfaatkan dan berkualiti tinggi selain menggalakkan sokongan institusi kewangan termasuk Bank Pelaburan Infrastruktur Asia untuk mencapai matlamat pembangunan bertaraf tinggi, berorientasikan rakyat dan mampan.
Menurut kenyataan itu, perkara lain yang akan turut ditinjau adalah sinergi antara Pelan Induk Digital ASEAN 2025 dan Inisiatif Membangunkan Kerjasama ASEAN-China mengenai Ekonomi Digital, Pelan Tindakan dan meningkatkan kerjasama dalam ekonomi digital, pembangunan bandar pintar, kecerdasan buatan, e-dagang, data raya, kes penggunaan 5G, transformasi digital selain keselamatan siber dan data dalam usaha penerimagunaan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
Di samping itu, ASEAN-China akan turut menerapkan rangsangan baharu bagi kerjasama menerusi usaha merangka dan melaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-China mengenai Kerjasama Erat dalam Sains, Teknologi dan Inovasi bagi Masa Depan (2021-2025), meninjau kerjasama ekonomi berkarbon rendah dan pembangunan mampan.
Selain itu, ia akan turut menggalakkan kerjasama baharu dalam teknologi digital selain meningkatkan aspek seperti ekosistem marin, kata kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!