Nazri Aziz desak segerakan undang-undang anti lompat parti

Mohamed Nazri
Mohamed Nazri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen kerajaan mendesak undang-undang anti lompat parti dikuatkuasakan segera bagi mengelakkan budaya lompat parti terus berlaku dalam keadaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin dekat.

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar perlu mengambil tindakan segera dengan mengemukakan perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri secepat mungkin.

Katanya, ia supaya Peguam Negara dapat diarahkan untuk membuat kerangka Rang Undang-Undang (RUU) anti lompat parti itu dalam masa terdekat.

"Kita kena buat segera kerana kita faham PRU15 paling lewat pada 2023.

"Kita ada (tempoh) dua tahun, jadi saya minta tolong ambil perkara ini secara serius. Saya percaya semua ahli Parlimen dan rakyat akan menyokong sekiranya kita mengadakan undang-undang anti lompat parti ini secepat mungkin," katanya ketika membahaskan RUU Perbekalan (Bajet) 2022 peringkat jawatankuasa di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Mohamed Nazri juga meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebagai ketua dalam Parlimen segera mewujudkan jawatankuasa pemilihan berhubung cadangan memperkenalkan undang-undang anti lompat parti itu.

"Panggil semua parti untuk hantar wakil dalam jawatankuasa pemilihan ini yang dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat sendiri supaya kita dapat selesaikan masalah ini secepat mungkin," katanya.

Tegasnya, beliau telah mencadangkan penggubalan undang-undang anti lompat parti itu ketika membahaskan Bajet 2022 tahun lalu namun sehingga sekarang tiada usaha dilakukan sama ada oleh kerajaan atau Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Kita lihat sekarang apa yang berlaku? Sudah dua kali berlaku pengkhianatan (ekoran berlaku lompat parti). Pertama, menolak keputusan PRU14 dulu yang memberi Pakatan Harapan (PH) kemenangan dan yang kedua apabila kerajaan negeri Melaka yang dinaikkan, dijatuhkan lagi.

"Jadi sebenarnya rakyat telah menyampah, benci, bosan dan meluat dengan ahli-ahli politik macam ini. Mereka langsung tidak meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi," katanya.

Susulan itu katanya, salah satu profesion yang dikutuk rakyat ialah ahli politik yang membabitkan ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta senator Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!