KPDNHEP akan mohon dana tambahan untuk francais

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (dua, kiri) beramah mesra bersama salah seorang penerima senarai akhir Daniel Sim Lim Kit (kanan) dalam Majlis Pengumuman Senarai Akhir Senarai Finalis Anugerah Francais Malaysia 2021 di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (dua, kiri) beramah mesra bersama salah seorang penerima senarai akhir Daniel Sim Lim Kit (kanan) dalam Majlis Pengumuman Senarai Akhir Senarai Finalis Anugerah Francais Malaysia 2021 di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memohon dana tambahan daripada kerajaan bagi program pembangunan francais mikro dan mampu milik berikutan sambutan menggalakkan yang diterima daripada penggiat francais dan golongan sasar.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, peruntukan RM5 juta bagi program berkenaan untuk tahun ini tidak mencukupi bagi menampung kesemua 144 permohonan yang diterima yang kebanyakan pemohon adalah daripada sektor makanan dan minuman serta pendidikan.

“Untuk tahun ini kita akan buat pemilihan iaitu lapan francaisor dan 29 francaisi sahaja dan jika didapati ada yang layak lagi, kita akan usahakan untuk mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan supaya mereka yang berhasrat menyertai industri francais dapat diberikan bantuan permulaan,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman calon akhir Anugerah Francais Malaysia 2021 ke-23 anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) di sini pada Isnin.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 6 April lepas mengumumkan pakej geran program berkenaan yang bertujuan membangunkan lebih banyak pakej francais bernilai RM100,000 ke bawah serta meningkatkan bilangan pemain industri fancais daripada golongan B40 dan M40.

Hasnol Zam Zam berkata, KPDNHEP sedang dalam proses menyenarai pendek kesemua 37 francaisor dan francaisi terpilih.

"Jumlah dana yang bakal diterima oleh francaisor dan francaisi terpilih adalah tidak sama kerana ia bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan," katanya.

Menurutnya, francaisor akan diberikan dana maksimum sebanyak RM100,000 manakala francaisi pula antara RM50,000 dan RM100,000 dengan nisbah 90:10, iaitu 90 peratus dana ditanggung KPDNHEP dan 10 peratus lagi merupakan sumbangan usahawan francaisi.

Kini terdapat lebih 1,000 jenama francais telah berdaftar dengan KPDNHEP yang menawarkan peluang perniagaan francais dan peluang pekerjaan, katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Program Pengukuhan Francais Bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) juga giat dilaksanakan bagi membantu perniagaan francais meluaskan jenama mereka ke peringkat antarabangsa.

"Antara jenama yang berjaya menerusi EFDP itu ialah Global Art yang telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan pelabur dari Maghribi manakala Kenny Rogers Roasters pula akan memeterai perjanjian bersama prospek dari Algeria pada Disember ini," katanya.

Sementara itu, mengenai anugerah tersebut yang akan berlangsung pada 1 Disember depan di Putrajaya, Hasnol Zam Zam berkata, sebanyak 53 pencalonan diterima daripada industri francais bagi 17 kategori anugerah yang dipertandingkan termasuk Francaisi Malaysia Terbaik, Francaisor Terbaik, Francaisi Induk Terbaik dan kategori penghargaan khas.

Antara jenama francais yang disenaraikan ialah Old Town White Coffee, Myeongdong Topokki, Penyet Penyet.Com, dan Cambridge English For Life. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!