1,696 pegawai, anggota bomba positif Covid-19 sejak tahun lalu
SEBERANG JAYA - Seramai 1,696 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dilaporkan dijangkiti Covid-19 sejak Mac tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan berkata, daripada jumlah itu, dua telah meninggal dunia yang membabitkan jangkitan daripada komuniti.
Menurutnya, kedua-duanya merupakan seorang pegawai kanan yang bertugas di Sabah manakala seorang lagi pegawai lain-lain pangkat berkhidmat di Negeri Sembilan.
"Mereka disahkan dijangkiti bukan ketika bertugas sebaliknya daripada komuniti. Sementara itu, laporan terkini menunjukkan 68 pegawai dan anggota dijangkiti Covid-19 dan kini sedang dirawat.
"Kebanyakannya mereka dikuarantin di rumah kerana tidak mengalami gejala yang serius," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Mohammad Hamdan berkata, 98 peratus daripada 14,500 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara telah lengkap dos vaksin dengan 26 peratus daripadanya sudah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.
"Kita menekankan kepentingan pengambilan dos penggalak agar pegawai dan anggota mendapat lebih perlindungan ketika menjalankan tugas terutama semasa membantu mangsa banjir.
"Selain itu, kita amat menitikberatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) antaranya pemakaian set pakaian pelindung diri ketika bertugas melibatkan menyelamatkan mangsa dalam insiden banjir atau pun kebakaran," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menubuhkan Skuad Penyelamat Bangunan Tinggi di Kuala Lumpur untuk menangani kes bunuh diri.
"Pasukan ini akan membantu menyelamatkan mereka yang cuba membunuh diri terutamanya ketika ramai yang terkesan dengan keadaan ekonomi akibat penularan Covid-19.
"Skuad ini bukan sahaja dilengkapi alatan khas ketika menyelamat di bangunan malah pegawai dan anggotanya juga diberi latihan pengendalian secara fizikal serta psikologi kerana kita perlu 'berlawan' serta memujuk mereka yang mahu membunuh diri," katanya.
Sebelum itu, beliau menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Pulau Pinang.
Pada majlis itu, seramai 105 pegawai dan anggota JBPM Pulau Pinang menerima pingat masing-masing yang turut dihadiri Pengarah JBPM Negeri, Saadon Mokhtar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!